Cara Murah Ke DMZ Korea

Jika ke Seoul, ramai yang ambil kesempatan untuk melawat Zon Demiliterisasi (DMZ) yang memisahkan Korea Selatan dengan Korea Utara, kerana lokasinya tidak begitu jauh dari ibu kota itu.

Kawasan sepanjang 250 kilometer dan kira-kira empat kilometer lebar ini diwujudkan setelah Korea Utara, China dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menandatangani Perjanjian Genjatan Senjata Korea pada 1953.

Kini, sudah ada perkhidmatan bas untuk memudahkan anda melawat Zon Demiliterisasi (DMZ). Perkhidmatan bas dua tingkat No. 7300 ke Imjingak Pyeonghoa-Nuri Park itu baru dimulakan pada 22 September lalu.

Anda boleh menaikinya dari Universiti Hongik atau Stesen Hapjeong di Seoul ke Imjingak Resort. Tambang yang dikenakan hanya 2,500 Won.

Jadual perjalanan bermula jam 9.00 pagi dengan kekerapan setiap jam satu, sehingga jam 11.00 pagi. Kemudian bersambung pada 12.30 tengahari sehingga 14.30 petang. Perjalanan ke Imjingak Pyeonghoa-Nuri Park dari Universiti Hongik akan memakan masa dua jam.

Jika anda duduk di tingkat atas bas, anda berpeluang melihat pemandangan beberapa tempat di Korea Utara apabila bas hampir ke destinasi akhirnya di Imjingak, daerah Paju. Antaranya Gunung Songaksan, kampung Kwansanbando dan Daerah Kaep’ung di Wilayah Hwanghae Utara.

Lokasi ini kaya dengan sejarah hubungan antara Korea Utara dan Selatan. Antaranya perkhidmatan kereta api yang pernah wujud dari Paju ke Sinuiji, sebuah bandar di Utara Semenanjung Korea sebelum negara itu berpisah.

Anda boleh melawat Jambatan Kebebasan yang diseberangi warga Korea Selatan untuk pulang ke kampung halaman mereka selepas perjanjian genjatan senjata ditandatangani, atau ke pusat-pusat pameran dan pengalaman di kawasan sekitar DMZ, seperti tanah bencahnya.

Jambatan Kebebasan.

Perkhidmatan bas ke Imjingak ini boleh menjimatkan belanja pelancong bajet. Sebelum ini anda mungkin perlu mengambil khidmat agensi pelancongan untuk melawat DMZ dari Seoul. Kini anda boleh pergi sendiri ke Imjingak menaiki bas, kemudian menggunakan khidmat agensi ke DMZ. Dengan cara itu, anda boleh menjimatkan separuh perbelanjaan.

Foto: Pixabay & Paju City Hall



Booking.com