CHATUCHAK: Syurga Membeli-Belah

JIKA anda ke Bangkok, Thailand salah satu tempat yang wajib dikunjungi adalah Chatuchak Weekend Market. Tempat ini bagaikan syurga membeli belah yang menjual pelbagai jenis barangan. Sebut sahaja apa yang anda mahukan. Semua ada di sini!

Setiap hari Sabtu dan Ahad, Chatuchak akan menjadi tumpuan orang ramai baik warga tempatan ataupun pelancong. Pasar terbesar di dunia ini mempunyai lebih 15 000 gerai jualan yang dibahagikan kepada 27 bahagia seperti pakaian, aksesori, barangan elektronik, perabot dan hiasan rumah, hasil kraftangan, tumbuh-tumbuhan serta barangan antik. Semua barangan dijual pada harga yang sangat murah.

Apabila tiba di sini, pastikan anda mengambil peta lokasi yang diberi secara percuma pada setiap pintu masuk. Jika sudah merancang apa yang hendak dibeli, terus sahaja ke lokasi yang menjual barangan tersebut. Sementara itu bagi mereka yang mahu berjalan-jalan, boleh sahaja ke setiap bahagian.

Untuk ke pasar ini, anda boleh menggunakan perkhidmatan BTS dan turun di stesen Mo Chit. Selain itu perkhimatan teksi atau kereta sewa sentiasa ada di sini untuk pergi dan balik.

TIPS

  1. Tempat ini terlalu besar, tidak sesuai jika anda mahu ‘survey’ setiap baragan kerana mungkin akan kepenatan untuk mencari harga terbaik. Jika mahukan sesuatu terus ambil dan bayar.
  2. Jika mahu membeli sesuatu jangan lupa proses ‘tawar-menawar’. Tetapi harus diingatkan, jika anda tidak berhajat membeli janganlah terlalu banyak bertanya sehingga membuatkan penjual merasa marah atau kurang selesa.
  3. Bawa beg besar untuk mengisi barang yang telah dibeli. Ramai pengunjung yang akan menarik luggage bag supaya senang membeli-belah.
  4. Jika anda mencari barang yang besar atau sukar dibawa pulang, jangan risau. Banyak gerai syarikat penghantaran ekspres dibuka di sana.
  5. Di Chatuchak terdapat sebuah Menara Jam yang juga menjadi lokasi penanda jika tersesat. Kalau ada rakan yang ‘hilang’ dek kerana asyik membeli-belah, Menara Jam boleh dijadikan sebagai lokasi pertemuan semula.
  6. Pastikan anda meluangkan masa lama di sini. Kalau boleh kosongkan jadual cuti anda untuk sehari di Chatucak sahaja. Percayalah, satu atau dua jam memang tidak cukup.
  7. Untuk mencari makanan juga tidak susah. Ada gerai makanan halal di sana.


Booking.com