Cuti Bajet! Nikmati 8 Lokasi Menarik di Hulu Selangor. Dekat jer…

APA ADA DI HULU SELANGOR?

Hulu Selangor merupakan daerah yang bersempadan dengan negeri Pahang dan kaya dengan tarikan pelancongan alam semulajadi.

Sekiranya anda ingin beristirehat dan mahu menikmati keindahan alam dengan budget percutian yang murah, kedatangan anda ke daerah Hulu Selangor, sangat dialu-alukan.

Dah penat melalui rutin harian bekerja, apa salahnya kita bawa keluarga bercuti dan menikmati keindahan alam di Hulu Selangor pada hujung minggu kan? Lagipun lokasi ini tak jauh dengan Lembah Klang, iaitu kira-kira 30-45 minit pemanduan sahaja.

Nah, kami senaraikan 8 lokasi menarik untuk anda kunjungi dan menikmati panorama keindahan alam semulajadi di Hulu Selangor.

  1. Santuari Ikan Sungai Chiling Kuala Kubu Bharu

Air Terjun Sungai Chiling atau lebih dikenali dengan nama Santuari Ikan Sungai Chiling sememangnya satu destinasi yang sesuai untuk bersantai dan meluangkan masa bersama kawan-kawan serta keluarga di hujung minggu.

Santuari ikan ini dikawalselia oleh Jabatan Perikanan Negeri dan telah diwartakan sebagai taman alam semulajadi dan tempat perlindungan ikan kelah di dalam usaha untuk memelihara ikan tersebut.

Untuk sampai ke sini, anda perlu berjalan kaki selama 20 minit dari jalan besar melalui denai yang disediakan. Air terjun di sini memang cantik, jernih dan sejuk. Confirm anda teruja, tambahan lagi anda berpeluang mandi-manda bersama ikan-ikan kelah yang sentiasa berenang mengelilingi anda. Lokasi ini hanya dibuka kepada pengunjung pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

  1. Sungai Inki Kalumpang

Merupakan lokasi mandi manda sungai yang sangat menarik dikunjungi bersama keluarga dan juga anak-anak kecil. Disini terdapat kemudahan untuk pengunjung, seperti chalet, resort, dan training centre.

Berjalan kaki dari resort ke sungai, anda akan berjumpa dengan mini zoo dan taman permainan untuk kanak-kanak. Kawasannya sangat terjaga dan ada bayaran masuk. Bagi pengunjung yang ingin tidur dan merasai keindahan dan kedamaian pada waktu malam, boleh lah ke lokasi ini.

  1. Air Terjun Serendah

Di kalangan orang setempat, lokasi ini dikenali sebagai Templer Kai. Destinasi air terjun ini memang sangat sesuai untuk berkelah kerana mempunyai permukaan air terjun yang dalam dan cetek.

Kawasan tadahan air terjunnya pula lapang dan cantik. Kemudahan seperti tempat letak kereta, surau dan bilik persalinan ada disediakan. Nak datang ke sini pun senang dan mudah diakses dengan kenderaan.

  1. Lata Makau Kuala Kubu Bharu

Destinasi air terjun ini tidak dinafikan sangat jernih dan paling dingin airnya berbanding air terjun lain yang terdapat di Hulu Selangor. Namun hendak ke sini agak mencabar kerana pengunjung perlu mendaki dan meredah hutan antara dua hingga tiga jam. Destinasi ini sesuai untuk mereka yang gemarkan aktiviti-aktiviti lasak seperti mendaki bukit dan jungle trekking di dalam hutan.

  1. Sungai Bernam Teratak River

Kalau merancang nak bermalam di tepi sungai yang jernih airnya dan menawarkan pengalaman untuk aktiviti lasak, salah tempat popular yang boleh anda kunjungi ialah di Teratak Riverview.

Di sini terdapat pelbagai jenis penginapan chalet yang unik dan ala kampung yang letaknya betuk-betul di tepi sungai. Selain mandi sungai yang jernih dan bersih, anda juga boleh melakukan aktiviti lain seperti river tubing, flying fox, abseiling, berbasikal, meredah hutan, paintball, dan sebagainya.

  1. Kolam Air Panas Hulu Tamu

Terletak di Batang Kali, destinasi ini memang sesuai sekiranya anda ingin merasai kehangatan air panas semulajadi yang asli. Terdapat kemudahan kolam-kolam bermozek yang dibina khas untuk pengunjung.

Ada kolam air panas yang hanya untuk berendam kaki, dan ada juga kolam yang anda boleh mandi terus menggunakan gayung. Selain itu, terdapat juga beberapa chalet untuk mereka yang ingin bermalam di sekitar sini.

  1. Taman Millenium Kuala Kubu Bharu

Sekiranya anda menginap di sekitar Kuala Kubu Bharu, bolehla singgah ke taman rekreasi bertasik yang terkenal ini sama ada untuk berjogging atau bersiar-siar dengan keluarga. Kemudahan asanya memang cukup lengkap seperti laluan pejalan kaki berbata, pondok rehat, taman permainan kanak-kanak, gerai dan sebagainya. Selian itu, terdapat juga aktiviti paragliding di sini.

  1. Bukit Kutu

Untuk mereka yang sukakan aktiviti hiking, anda boleh lah mendaki bukit berketinggian 1090 meter yang terletak di Kuala Kubu Bharu ini. Pendakian untuk sampai ke puncak mengambil masa lebih kurang empat jam perjalanan yang bermula melalui kawasan perkampungan orang Asli, tidak jauh dari Empangan Hulu Selangor.

Bukit Kutu ataupun dahulunya dikenali sebagai Treacher’s Hill sememangnya mempunyai pelbagai kesan peninggalan sejarah sewaktu era pemerintahan British dahulu. Nama Treacher’s Hill adalah sempena Sir William Hood Treacher yang menemui tempat ini pada tahun 1893. Terdapat juga dua buah gua yang dikenali sebagai Gua Air dan Gua Kambing sebelum sampai ke puncak.



Booking.com