Dekati Budaya Indonesia

SEBAGAIMANA Indonesia terkenal dengan Negara Seribu Pulau, ia juga kaya dengan pelbagai seni dan warisan bangsa. Setiap daerah di Indonesia punya keistimewaan tersendiri untuk diceritakan kepada orang ramai. Jika melancong ke Indonesia pastikan anda meluangkan masa untuk melihat atau mempelajari budaya mereka.

Berikut antara budaya atau amalan yang popular di negara tersebut yang kini menjadi tarikan pelancong.

Tarian Kecak

Tidak lengkap percutian anda ke Bali jika tidak menonton persembahan Tarian Kecak yang memang popular di sana. Tarian ini biasanya dibuat sebelum matahari terbenam dan di tempat terbuka yang menghadap laut.

Tarian ini dipersembahkan oleh sekumpulan lelaki (50 hingga 60 orang) yang membantuk satu bulatan. Alat muzik yang digunakan ialah suara mereka sendiri yang mengalunkan bunyi “Cak! Cak! Cak!’. Setiap persembahan akan diketuai oleh seorang lelaki yang mengawal tinggi atau rendah nada mereka.

Banyak kawasan sekitar Bali yang membuat persembahan Tarian Kecak. Namun yang paling popular ialah di Pura Uluwatu. Persemabahan dilakukan setiap hari dengan pemandangan indah menghadap laut ketika matahari terbenam.

Tarian Janger

Selain Kecak, Tarian Janger juga popular di Bali. Tarian ini melibatkan 10 pasangan dalam satu persembahan yang menari secara bergilir-gilir sambil menyanyi lagu Janger. Panari wanita dikenali sebagai janger manakala penari lelaki pula digelar kecak.

Janger bukankah sejenis tarian yang berbentuk ritual seperti Kecak. Ia lebih kepada persembahan dalam meraikan majlis. Menurut sejarah dahulu tarian ini dilakukan oleh kaum wanita sebagai satu hiburan setelah seharian di ladang.

Setiap perkampungan di Bali mempunyai cara dan bentuk tarian Janger berbeza. Jadi anda boleh menyaksikan tarian ini jika di mana-mana kawasan sekitar Bali.

Reog Tengger

Reog Tengger merupakan tarian popular di Gunung Bromo, sebuah lambang kebanggaan Indonesia yang terletak di Jawa Timur. Di sini juga tinggalnya kaum Tengger yang telah memperkenalkan tarian ini kepada orang ramai.

Karakter utama dalam tarian ini ialah Singa Barong. Seorang lelaki akan mengangkat topeng berbentuk singa yang dihiasi indah. Topeng yang beratnya lebih 30 kilogram itu diangkat hanya menggunakan gigi. Justeru masyarakat percaya lelaki tersebut mempunyai ‘semangat’ yang dipuja.

Reog Tengger dipersembahkan dalam tiga segmen. Tarian pembukaan dilakukan oleh warok iaitu penari lelaki yang lengkap berpakaian warna hitam. Segmen kedua adalah Jaran Kepang yang dipersembahkan oleh remaja lelaki dengan wajah kacak dan berpakaian warna-warni. Pada segmen kemuncak, warok akan memainkan peranan utama dengan mambawa Singa Barong. Penari-penari lain akan mengelilingi Singa Barong sambil menari dengan iringan muzik tradisional mereka.

Upacara Penti

Penti merupakan satu upacara suci yang dilakukan oleh etnik Manggarai di Nusa Tenggara. Biasanya upacara ini berlangsung sekitar bulan November sebagai tanda kesyukurkan selepas menuai dan ia dilakukan di Kampung Warisan Wae Rebo.

Upacara ini biasanya melibatkan ritual tradisi yang juga dianggap sebagai doa untuk kemewahan hidup pada tahun berikutnya. Ia berlangsung selama sehari dan akan melibatkan seluruh penduduk kampong.

Penti dimulakan dengan acara Barong Wae dan barong Oka dimana penduduk kampong membawa ‘hadiah’ ke Rumah Gendang iaitu sebuah rumah utama di kawasan tersebut. Mereka akan memuja ‘semangat’ untuk sama-sama menyertai acara Penti. Mereka kemudian akan ke watu pantas sebagai simbolik menyucikan diri sebelum menziarah ke compang.

Perarakan Tatung

Di barat Kalimantan terletak sebuah pekan kecil yang dikenali sebagai Singkawan. Penduduk majoriti di sini ialah kaum Cina yang mengamalkan budaya hidup campuran Cina dan Dayak. Satu upacara yang sering menjadi sebutan di sini ialah Tatung. Upacara ini mungkin tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak kerana melibatkan aksi yang ganas.

Tatung merujuk kepada individu dipercayai punya kelebihan istimewa yang dianugerahkan oleh kuasa Lauya dan ia sesuatu yang diwarisi. Setiap tahun kesemua Tatung di Singkawan akan berarak ketika hari Cap Go Meh iaitu 15 hari selepas sambutan Tahun Baru Cina. Jadi pesta ini biasanya berlangsung sekitar hujung Februari atau awal Mac.

 

 



Booking.com