Deria Berubah Dalam Penerbangan

on

Adakah anda teruja untuk menikmati sajian dalam penerbangan? Dalam banyak keadaan, mungkin tidak…tapi kalau perjalanan jarak jauh, suka atau tidak, kita perlu makan.

Atau pernah tidak anda membawa sajian yang diberi dalam penerbangan untuk dimakan kemudian selepas mendarat, dan mendapati rasanya agak pelik – terlebih masin atau manis umpamanya?

Perbezaan rasa itu sebenarnya bukan disebabkan oleh makanan, tapi sebenarnya oleh deria rasa anda yang berubah.

Kelembapan yang rendah, tekanan udara yang rendah dan bunyi latar belakang mempengaruhi apa yang anda rasa ketika makan.

Kapal terbang biasanya terbang pada kelajuan sederhana (cruise) pada ketinggian antara 36,000 hingga 40,000 kaki. Semakin tinggi altitud, tekanan udara semakin rendah dan kelembapan pun menurun. Pada ketinggian 30,000, kelembapan biasanya berada pada tahap 12 peratus – lebih kering daripada sesetengan padang pasir.

Menurut kajian, tekanan rendah dan kelembapan yang rendah boleh mengurangkan sensitiviti deria rasa anda kepada rasa manis dan masin sebanyak 30 peratus.

Selain deria rasa, deria bau juga terjejas kerana persekitaran yang kering menyebabkan reseptor bau tidak dapat berfungsi dengan betul. Apa yang kita anggap sebagai rasa, sebenarnya 80 peratus daripadanya disumbangkan oleh bau.

Bagi menseimbangkan kekurangan deria bau dan rasa ini, sajian yang dihidangkan dalam penerbangan biasanya ditambah kemasinan dan kemanisannya. Bagaimanapun, rasa yang lain seperti pahit, masam dan pedas serta umami tidak terjejas.

Di samping deria rasa, altitud tinggi juga menyebabkan beberapa kesan lain pada badan anda. Antaranya, oksigen yang diserap oleh darah berkurangan dan ini boleh membuatkan anda berasa mengantuk atau sakit kepala.

Kekurangan lembapan ini juga boleh menyebabkan dehidrasi dan kulit kering. Manakala tekanan udara yang rendah boleh menyebabkan gas dalam usus mengembang, sekali gus membuat anda berasa kembung dan sakit perut.

Oleh itu, pastikan anda minum air putih secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi dan menggunakan pelembap untuk kulit anda.

Satu perkara lagi, kalau anda menaiki penerbangan jarak jauh, pastikan anda melakukan senaman kaki (boleh lihat risalah dalam kapal terbang untuk melihat caranya) atau berjalan-jalan di laluan selepas duduk lama bagi mengelakkan masalah DVT (deep vein thrombosis) atau darah beku dalam salur darah.

 



Booking.com