Destinasi Bajet Weekend Getaway

APA nak buat hujung minggu ini? Apa kata anda rancang weekend getaway bersama rakan-rakan? Sesekali kita berjalan ke luar kota memang menarik. Tak perlu belanja tinggi pun. WOWMalaysia senaraikan destinasi bajet untuk weekend getaway anda.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua ke tiga jam melalui lebuhraya. Perbelanjaan keseluruhan juga tidak banyak. Apa lagi jika berkongsi kenderaan. Boleh jimat tol dan minyak.

Sediakan wang untuk makan sahaja kerana tempat yang dicadangkan ini semuanya percuma. Jika ada bajet lebih, bolehlah melawat tempat berbayar seperti muzium.

Jadikan hujung minggu anda lebih bermakna bersama teman setia.

Melaka

Kalau hendak disenaraikan tempat-tempat menarik di Bandaraya Bersejarah ini memang banyak. Berjalan sekitar Kota A Famosa dan The Stadthuys semestinya perkara wajib dilakukan. Kalau penat berjalan, anda boleh menaiki beca mengeliling Bandar Melaka.

Pada sebelah petang boleh pergi ke ‘padang pasir’ di Pantai Klebang. Lokasi ini sangat popular bagi mereka yang suka bergambar. Selepas itu boleh minum petang sambil menikmati angin petang pantai di sana.

Mencari makan di Melaka memang tak susah. Banyak tempat yang boleh anda singgah jika perut lapar. Jika anda buat sedikit research sebelum sampai Melaka, ada beberapa makanan yang patut anda cuba seperti Keria Antarabangsa di Pantai Klebang, Manggo Float di Batu Berendam, Roti Nan Pak Putra dan Asam Pedas Claypot di Taman Kota Laksamana.

Roti Nan Pak Putra.

Pada sebelah malam, anda boleh cuba makan ikan bakar di Alai atau Muara Sungai Duyung. Selepas makan, boleh jalan-jalan di Jonker Street untuk mencari cenderamata atau produk tempatan.

Ipoh

Mari kita mulakan hari di Ipoh seawal pagi kerana anda perlu singgah bersarapan di Restoran New Hollywood di Jalan Canning. Variasi makanan disajikan di sini. Pilih sahaja apa yang anda mahu. Tempat ini memang popular, jadi jangan terkejut kalau perlu berebut tempat dengan pelanggan lain.

Bagi mereka yang suka barangan rare, anda boleh ke Pasar Karat di Jalan Horley. Lokasi ini juga menjadi kesukaan bagi pengumpul barangan antik. Ada yang sanggup datang dari jauh pada hujung minggu semata-mata untuk ke Pasar Karat.

Ipoh pernah diberi jolokan sebagai bandaraya hipster kerana banyak kafe baharu yang beroperasi di sana. Bukan hanya menyediakan menu lazat, kafe-kafe ini turut menjadi tumpuan dek kerana dekorasi dalamannya. Sudah tentu ramai akan merakamkan gambar dan berkongsi di Instagram.

Apabila berjalan sekitar Bandar Ipoh, anda pasti terlihat lukisan mural gergasi pada dinding banguan lama. Setiap lukisan tersebut menceritakan kisah masyarakat dan sedikit sejarah bandar Ipoh. Jangan hanya ambil gambar tanpa tahu maksdu sebenar lukisan tersebut. Baca kisah menarik pada ruangan info.

Sebelah malam pula anda boleh ke Gerbang Malam. Sama konsepnya seperti Jonker Street di Melaka dan kebanyakan uptown di ibu kota. Ia menjadi medan bagi peniaga tempatan yang beroperasi pada sebelah malam.

Tempat makan menari di Ipoh? Macam-macam ada! Nasi Vanggey Greentown, Mee Daud Mat Jasak dan Mee Rebus Ramli antara yang patut anda cuba. Kalau nak lebih mudah, singgah di Dataran Ipoh yang menjual pelbagai jenis makanan pada sebelah malam.

Kuantan

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke bandar Kuantan mengambil masa lebih kurang dua jam. Anda dinasihkan supaya bersedia dengan perut kosong kerana banyak tempat makan untuk dikunjungi. WOWMalaysia pernah senaraikan tempat makan menarik di Kuantan sebelum ini. Klik sini untuk baca lanjut.

Pulau Pinang

Sekalipun anda memandu ke Pulau Pinang, tak salah untuk rasa pengalaman menaiki feri dari terminal Sultan Abdul Halim di Butterworth ke terminal Raja Tun Uda di George Town. Kita mulakan dengan sarapan roti canai di Transfer Road. Rugi kalau tak singgah tempat popular ini jika berada di sana.

Di sekitar bandar Georgetown juga terdapat lukisan mural yang dihasilkan oleh pelukis sama di Ipoh iaitu Ernest Zacharevic. Ambil masa untuk bergambar di setiap lukisan tersebut. Pasti anda dan jurufoto berada pada kedudukan yang betul untuk mendapatkan hasil terbaik.

Apabila sudah tiba di Pulau Pinang semestinya kena cuba makan nasi kandar. Banyak restoran nasi kandar di sana. Cari sahaja mana-mana yang menepati citarasa anda.

Pada sebelah petang anda boleh ke pantai di Batu Ferringhi. Dalam perjalanan ke sana jangan lupa singgah makan laksa di Tanjung Bungah.

Selepas berehat di pantai, apa kata anda ke Gurney Drive untuk ‘isi perut’. Kemudian bolehlah berjalan menikmati angin malam di sekitar kawasan tersebut. Selain Gurney Drive, tempat yang menjadi tumpuan orang pada waktu malam adalah Padang Kota Lama.



Booking.com