Elak Makanan Ini Bila Melancong

on

Salah satu  keseronokan melancong  ialah peluang untuk menikmati makanan tempatan. Mungkin makanan itu anda boleh dapati di tempat lain, tapi rasanya mungkin berbeza.

Dalam pada anda teruja untuk menikmati apa sahaja yang membangkitkan selera, ambil ingatan mengenai perkara berikut bagi mengelakkan jadual perjalanan anda terganggu gara-gara perut yang tidak selesa, cirit-birit atau pening.

  • Makanan mentah

Elakkan makan makanan mentah –khususnya daging dan makanan laut – kerana ia boleh membahayakan perut dan kesihatan keseluruhannya. Walaupun makanan itu diperah limau atau cuka, kuman tetap ada pada makanan itu jika persediaannya tidak betul. Apatah lagi kalau ia terdedah agak lama.

  • Buah tanpa kulit

Memang lebih mudah untuk makan buah tanpa perlu membuang kulitnya, tapi ini juga berbahaya jika buah itu dibasuh menggunakan air paip yang tercemar. Elakkan mengambil buah-buahan tanpa kulit di negara yang bekalan air bersihnya diragui. Kalau mahu membeli buah potong, perhatikan cara penyediaannya dan kebersihan gerai itu. Sebaiknya elakkan sahaja.

  • Sos dan pencicah

Ada pencicah yang mungkin dibuat menggunakan air yang tidak selamat, atau herba segar atau telur yang boleh mengancam kesihatan anda. Kalau mahu mencuba juga, pastikan ia dimasak sepenuhnya dan masih panas.

  • Kerangan laut

Kerangan laut – ketam, udang kara, udang – mempunyai lebih banyak bakteria berbanding makanan laut lain. Pastikan ia dimasak dengan betul sebelum memakannya. Bagi mereka yang mempunyai alergi makanan, elakkan sahaja makanan ini.

  • Salad atau sayuran segar

Sayur yang sudah dimasak agak selamat dimakan. Bagaimanapun, kalau perut anda tidak tahan, elakkan makan salad yang biasanya disediakan dengan sayur-sayur mentah, apatah lagi di negara yang terhad bekalan air bersihnya.

  • Makanan di gerai

Menikmati makanan yang dijual di gerai adalah salah satu keseronokan kala berkunjung ke negara asing. Di sinilah anda berpeluang menikmati makanan tempatan dengan harga yang murah. Namun pilih-pilihlah tempat yang anda mahu beli makanannya dengan memerhatikan faktor kebersihan, ramai pelanggan dan makanannya tidak terdedah.

  • Telur

Kalau mahu makan telur, pastikan ia dimasak dengan betul. Elakkan telur separuh masak atau mentah kerana ia mungkin mengandungi salmonella – bakteria yang boleh menyebabkan perut kejang, cirit-birit dan demam.

  1. Ais

Dalam cuaca panas, minuman berais memang menjadi pilihan. Namun sekiranya anda tahu negara itu tidak mempunyai bekalan air bersih yang baik, sebagai langkah berjaga-jaga, minum sahaja air panas. Bagi mengelakkan dehidrasi, bawa bekalan air anda sendiri.

 



Booking.com