Estatik Klasik di Dayang-Dayang Spa

KEINDAHAN dan kehalusan seni hiasan tradisional Melayu seperti ukiran kayu dan bau-bauan rempah-ratus herba Nusantara pasti mengusik jiwa sesiapa sahaja yang mengunjungi spa yang terletak di Plaza Mont Kiara ini. Suasana dalaman spa yang ibarat istana Melayu lama ini amat menarik untuk diterokai dengan lebih mendalam.

Spa yang dinamakan Dayang-Dayang Spa ini dimiliki oleh Puteri Sylfarezza sementara hiasan dalaman tradisional Melayu ini merupakan sentuhan seni ibu wanita muda ini yang amat mencintai elemen-elemen klasik terutama dalam hiasan dalaman. Dia mengakui bahawa kebanyakan bahan-bahan hiasan seperti ukiran kayu adalah daripada koleksi barang-barang antik milik ibunya.

Garapan seni lama spa berkonsep tradisional Melayu ini kelihatan selari dengan tema warna kayu coklat gelap dan merah hati, diiringi pula sayup-sayup muzik tradisional Melayu. Amat mengasyikkan.

Menurut Puteri Sylfarezza lagi, nama Dayang-Dayang Spa diberi bagi membayangkan layanan istimewa para terapis spa tersebut kepada pelanggan yang ingin menikmati perkhidmatan rawatan diri ini. Kesemua terapis yang berpengalaman ini bertugas mengikut giliran bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang terbaik.

Jelas Puteri Sylfarezza, “ Dayang-Dayang bermaksud sekumpulan pengiring dalam istana Melayu. Maka pelanggan kami akan diberi layanan bagai puteri apabila berkunjung ke sini untuk rawatan.”

Dayang-Dayang Spa mempunyai ruang menunggu yang agak luas dalam suasana nyaman diterangi cahaya suram. Di sebelah belakang kaunter pendaftaran, disebalik tirai merah hati terdapat sudut refleksologi kaki bagi memberi privasi kepada pelanggan.

Spa ini memiliki lima buah bilik rawatan muka dan badan, iaitu empat bilik jenis perseorangan dan sebuah bilik kelamin untuk pasangan. Bilik perseorangan kelihatan ringkas dengan kelengkapan katil dalam suasana yang selesa sementara bilik kelamin turut dilengkapi bilik bersiram.

Menariknya, Dayang-Dayang Spa menggunakan produk penjagaan kecantikan daripada kepala hingga hujung kaki menggunakan jenama rumusan sendiri. Dinamakan Borneo V, jenama eksklusif ini berkonsep aromaterapi, menggunakan bahan-bahan herba dan tumbuh-tumbuhan semulajadi. Ia menjanjikan kesegaran, kelegaan dan ketenangan pada pelanggan.

Spa ini menyediakan pelbagai perkhidmatan rawatan iaitu rambut, muka dan badan termasuk urut badan tradisional, urut aromaterapi, urut batu panas dan urut ‘herbal ball’. Sementara pelanggan yang ingin kelihatan lebih lansing boleh mencuba rawatan anti-selulit urut lansing (beserta sauna herba). Terdapat empat jenis rawatan sental dan pupur seperti penyental beras dan pupur serta penyental boreh.

Namun Dayang-Dayang Spa amat berbangga dengan penawaran rawatan signatur berupa empat jenis pakej rawatan khas iaitu Rawatan Muka dan Badan Sri Manja; Rawatan Muka dan Badan Sinar Bahagia (pakej bakal pengantin); Rawatan Badan Bersiram dan Rawatan Permasuri Muka & Badan.

Dayang-Dayang Spa yang telahpun setahun beroperasi dibuka setiap hari dari 9.30 pagi hingga 7.30 malam. Namun pelanggan yang berminat untuk menggunakan perkhidmatan rawatan digalakkan membuat temu-janji dahulu bagi mengelak menunggu lama.



Booking.com