Florence Luluskan Undang-Undang Piazze Vivibili

on

Bandar Florence, Itali baru-baru ini meluluskan rang undang-undang baru yang dinamakan `Piazze vivibili’ (dataran sesuai didiami) bagi meningkatkan keselamatan di jalan-jalan dan dataran-dataran yang menjadi tumpuan pelancong.

Seramai kira-kira 100 anggota polis ditugaskan memeriksa tempat-tempat tersebut bagi memastikan peraturannya dipatuhi. Antara perkara yang dilarang di bawah rang undang-undang itu ialah berkumpul beramai-ramai untuk melepak, makan dan minum di tempat yang diwartakan.

Antara tempat yang tertakluk kepada peraturan itu ialah taman Via Galliano di Quartiere 1; kawasan Parterre (termasuk piazza della Liberta) di Quartiere 2; via Reims (berhampiran gereja, teater dan taman), piazza Bartali dan piazza Artusi di Quartiere 3; piazza Pier Vettori di Quartiere 4; dan taman-taman awam antara via Allori dan via Baracca di Quartiere 5.

Piazza della Liberta antara tempat terlibat dalam peraturan baru itu.

Mereka yang melanggar peraturan itu, yang berkuatkuasa mulai September 2018, boleh dikenakan denda sehingga 206 Euro (lebih RM1,000) atau tiga bulan penjara.

Bagaimanapun, larangan itu hanya terhad kepada masa-masa tertentu – iaitu dari pukul 12 tengah hari hingga 3 petang, dan dari pukul 6 petang hingga 10 malam. Ia akan dikekalkan selama 4 bulan sehingga musim percutian di Itali berakhir pada 6 Januari, dan mungkin akan diteruskan selepas itu.

Menurut Datuk Bandar Florence, Dario Nardella, peraturan tersebut bagi mengekang sikap pelancong yang `kasar dan tidak tahu adab’.

Peraturan ini muncul selepas seorang pemilik kedai tempatan dipukul oleh pelancong-pelancong Sepanyol selepas dia meminta mereka berhenti berkelah di pintu masuk kedainya.

Papan-papan tanda mengenai peraturan baru itu telah diletakkan di tempat-tempat makan sekitar bandar tersebut.

Pelancong biasanya memilih untuk makan makanan yang dibeli di tempat awam bagi mengelakkan kos makan di kafe dan restoran yang mahal di bandar-bandar utama Itali.

Kos penerbangan dan penginapan yang murah mendorong ketibaan ramai pelancong ke Florence (atau Firenze dalam bahasa Itali), yang menyebabkan kesesakan serta masalah sampah.

 



Booking.com