Floria Diraja Putrajaya: Terbaik 10

on

Kalau anda peminat bunga-bungaan, ada sebab yang amat besar kenapa anda mesti datang ke Floria Diraja Putrajaya yang akan berlangsung dari 25 Ogos hingga 2 September pada tahun ini.

Sejak ia mula dianjurkan pada 2007, peminat Floria pasti tahu mengenai tema bunga yang diadakan setiap tahun itu – biasanya hanya satu jenis bunga.

Bagaimanapun, sempena sambutan ulang tahun ke-10 penganjurannya, festival bunga-bungaan yang akan diadakan di Anjung Floria, Presint 4 Putrajaya pada kali ini akan menampilkan SEPULUH bunga tema.

Bertemakan 10 Kegemilangan Floria, festival pada tahun ini akan menampilkan kembali bunga tema yang  pernah digunakan sebelum ini seperti bunga raya, anggerik, heliconia, mawar, bunga kertas (bougainvillea), begonia, lili dan kekwa (chrysanthemum).

Menurut Menteri Wilayah, Khalid Abd. Samad, pameran yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) itu akan mewujudkan suasana taman lanskap dengan 400,000 pokok daripada pelbagai spesies. Sejumlah tidak kurang RM3 juta dibelanjakan untuk penganjuran acara tersebut.

Beberapa negara luar yang turut menyertai Floria Diraja Putrajaya pada kali ini ialah China, Jerman, Indonesia, Jepun, Korea, Filipina, Singapura, Taiwan dan Vietnam. Seramai lebih 1.5 juta pengunjung dijangka hadir pada pameran tersebut tahun ini.

Buat julung kalinya, Seni dan Kraf Floria – gerai-gerai jualan barangan kraftangan – serta Pavilion Kucing – pameran kucing baka eksotik – turut diadakan pada festival kali ini.  Pihak penganjur juga menyediakan lebih 300 aktiviti harian seperti demonstrasi gubahan bunga, bengkel berkebun, persembahan hiburan, pertandingan fotografi, peraduan mewarna dan lain-lain acara seni dan kraf.

Tiket untuk dewasa ialah RM12, manakala kanak-kanak antara 7-12 tahun, warga emas dan OKU perlu membayar RM6 seorang. Manakala harga tiket pada hujung minggu ialah RM15 untuk dewasa dan RM8 untuk kanak-kanak.

Pelancong asing perlu membayar RM24 untuk dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak.

Diskaun diberikan kepada mereka yang menempah tiket secara online. Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pameran ini dengan melayari floriaputrajaya.com.my

Gambar: floriaputrajaya.com.my



Booking.com