Grab Bagi Jaminan Tidak Bebankan Penumpang

PENYEDIA perkhidmatan e-hailing, Grab memberi jaminan bahawa penggabungan syarikat dengan Uber tidak akan memberi kesan terhadap tambang penumpang.
Kerajaan juga dikatakan boleh mengambil tindakan terhadap Grab jika didapati menaikkan tambang berikutan penggabungan Grab-Uber di Asia Tenggara.

Bahkan kerajaan mungkin akan mempertimbangkan tindakan undang-undang di bawah Akta Persaingan 2010 bagi mengekang kedudukan dan pakatan berbentuk monopoli oleh syarikat besar untuk memanipulasi harga barang dan perkhidmatan.

Ini berikutan Uber Technologies Inc. bersetuju menjual operasi Asia Tenggara kepada pesaingnya, Grab dalam masa sama menarik diri daripada persaingan sengit di rantau yang berkembang pesat.
Menurut Bloomberg, sebagai pulangan, Uber, aplikasi perkongsian kenderaan Amerika Syarikat (AS) itu akan memiliki pegangan sebanyak 27.5 peratus di dalam entiti gabungan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Anthony Tan berkata, pengambilalihan itu menandakan permulaan era baharu. Kedua-dua pihak merupakan peneraju bagi segmen platform dan kecekapan kos di rantau ini.

Katanya, pengambilalihan tersebut secara tidak langsung mengakhiri proses perebutan kepimpinan dalam segmen perkhidmatan perkongsian kenderaan di Asia Tenggara.

“Grab bermula sebagai aplikasi menempah teksi di Kuala Lumpur pada 2012, kini menjadi antara penyedia perkhidmatan perkongsian kenderaan dominan di rantau ini.

“Sejak beberapa tahun lalu, Grab berjaya meraih pelaburan kira-kira AS$4 bilion (RM15.6 bilion) yang diperoleh daripada pelabur,” katanya.

Sumber: Utusan Melayu



Booking.com