Gunung Agung Meletus Lagi, Lapangan Terbang Bali Beroperasi Seperti Biasa

GUNUNG berapi aktif di Bali kembali meletus, memuntahkan lahar dan debu beberapa kilometer ke udara.

Menurut Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan Indonesia, penduduk mendengar letupan kuat dan melihat batu berapi tercampak keluar sejauh kira-kira dua kilometer dari kawah Gunung Agung.

Letusan yang berlanjutan selama tujuh minit itu memaksa penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Bagaimanapun, lapangan terbang Bali kekal beroperasi seperti biasa dan tiada sebarang perubahan pada status amaran gunung itu.

Gunung Agung yang terletak di timur laut Bali semakin aktif sejak tahun lalu dan pada Jumaat 29 Jun lalu Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai ditutup sementara sehingga menyebabkan ribuan pelancong terkandas.

Kali terakhir letusan kuat Gunung Agung berlaku adalah pada 1963, apabila lebih 1,000 orang maut dan beberapa kampung di cerun gunung musnah.



Booking.com