Haram Straw Plastik Isu Remeh?

Berikut merupakan perkongsian dan ulasan seorang doktor dan aktivis alam sekitar, Rushdan Noor (FB) berkenaan isu pengharaman straw plastik yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Manusia mencemarkan bumi dan lautan setiap masa dan dikatakan 80% daripada bahan buangan adalah barangan yang diperbuat daripada plastik. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan sejumlah 9 juta tan plastik dilepaskan ke dalam lautan setiap tahun, membunuh banyak hidupan laut dan kemudiannya menjadi sebahagian daripada rantaian makanan manusia. Ia juga menjejaskan pendapatan nelayan, industri pelancongan dan setiap tahun dunia kerugian sejumlah 8 bilion dolar Amerika akibat daripada kerosakan ekosistem hidupan laut.

Daripada jumlah yang disebutkan di atas, 2000 tan adalah straw plastik dan straw adalah 10 barangan plastik yang paling banyak ditemui. Walaupun mengharamkan penggunaan straw plastik tidak akan menyelesaikan semua masalah tetapi pakar alam sekitar percaya ini adalah satu langkah permulaan yang baik kepada perubahan tingkah laku yang berskala lebih besar. Pemilihan straw plastik sebagai salah satu kempen menghentikan penggunaan plastik adalah juga bertitik tolak daripada satu video yang telah ditularkan pada tahun 2015 menunjukkan seorang pakar biologi mengeluarkan straw daripada hidung penyu (video di bawah). Video ini ditonton oleh lebih daripada 30 juta orang.

Di antara negara-negara yang melaksanakan pengharaman straw plastik adalah UK, Taiwan, Hawaii, Scotland, Costa Rica, Kanada, India dan beberapa negeri di Amerika Syarikat. Beberapa syarikat minuman dan makanan segera juga mengikut langkah yang sama. Bilangannya semakin bertambah.

Walaupun isu straw plastik itu nampaknya seperti kecil pada mata ramai orang awam tetapi hakikatnya besar di mata golongan pencinta alam dan pakar alam sekitar. Saya terbaca banyak tulisan di dalam fb yang memperlekehkan langkah mengharamkan straw plastik dan diselitkan pula dengan sindiran mengapa tidak mengharamkan arak terlebih dahulu. Agaknya mereka terlepas pandang bahawa memelihara alam sekitar itu juga adalah ajaran Islam dan perjuangan ini termasuk dalam amalan soleh seorang insan.

Banyak ayat yang menyentuh kepentingan menjaga alam sekitar dan kebersihan (cth ; Ar-Rum: Ayat 41;  Al-Baqarah:11, 222; Al-A’raf:56 dll) dan begitu banyak hadis mengenainya. Menjaga alam sekitar dan kebersihan termasuk di dalam maqasid syariah ke arah memelihara jiwa/nyawa dan agama.

Ajaran agama kita ini rupa-rupanya sangat luas dan meliputi semua aspek kehidupan manusia. Semoga Allah meluaskan minda yang sempit.”

Kredit: Rushdan Noor



Booking.com