Hilton Garden Inn, Berkonsep Bisnes & Percutian

on

Alangkah seronoknya dapat bersantai semasa anda keluar daerah atas urusan kerja… Inilah konsep penginapan ‘Brighthearted Hospitality’ yang dijanjikan HiIton Garden Inn Puchong, Selangor yang baru dirasmikan pada 24 Oktober lepas.

Hilton Garden Inn Puchong menyertai sembilan buah hotel lain yang diurus oleh Hilton di Malaysia. Puchong, antara kawasan di Lembah Klang yang rancak membangun, merupakan lokasi kedua hotel tersebut di negara ini. Tambahan pula, di sinilah letaknya zon baru syarikat multinasional dan ICT tempatan termasuk Pusat Kewangan dan Korporat Puchong (PFCC) dan Pusat Siber MSC terbaru.

Hotel ini dihubungkan dengan sistem jaringan LRT (stesen LRT Puchong Perdana) serta berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah. Walaupun lokasinya jauh dari ibu kota namun ia dalam persekitaran yang lebih selesa dan damai. Maka hotel ini sesuai untuk tujuan pelancongan yang berasaskan perniagaan dan percutian.

Dan Hilton Garden Inn komited untuk memenuhi cita rasa para pelancong terutamanya golongan ahli korporat dan ahli perniagaan generasi baru yang berkunjung ke kawasan perniagaan berhampiran. Demi kemudahan dan keselesaan tetamu juga, hotel ini menyediakan perkhidmatan ulang-alik percuma ke destinasi-destinasi pelancongan berhampiran sehingga ke IOI Mall dan Sunway Pyramid.

Selain di Puchong, cawangan pertama iaitu Hilton Garden Inn Utara terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman (berhampiran monorel Chow Kit) sementara cawangan ketiga bakal dibuka, Hilton Garden Inn Selatan berada bersebelahannya.

 Konsep ‘Brighthearted Hospitality’

Sekali pun bertaraf empat bintang, Hilton Garden Inn Puchong berkonsep perkhidmatan berfokus , ruang sosial yang menarik serta kemudahan bertaraf tinggi. Ini ditawarkan menerusi penginapan berkualiti pada harga berpatutan.

Reka bentuk bangunan yang moden, hotel ini bersambung pula dengan pusat membeli-belah Parkson M Square Mall demi kemudahan para tetamunya. Konsep ‘Brighthearted Hospitality’ digambarkan juga pada kemesraan para petugas hotel dari sapaan ‘selamat datang’ hingga ke ucapan ‘ selamat jalan’ sebagai satu pengalaman istimewa para tetamu.

Hilton Garden Inn Puchong menawarkan 255 bilik dan suite tetamu yang serba lengkap, menampilkan katil signaturnya yang begitu selesa serta set mandian mewah Crabtree&Evelyn. Anggaran harga bilik bermula RM200 ke atas.

Tetamu mempunyai dua pilihan bilik, sama ada bilik menghadap tasik atau kawasan bandar.  Atau pun lebih istimewa ‘Deluxe Corner Room’ dengan ruang tambahan dan tab mandi berasingan. Keselesaan tetamu juga diutamakan menerusi inovasi sensor haba badan automatik untuk sistem pendingin hawa dalam setiap bilik.

Hotel Hilton Garden Inn Puchong menyediakan lima ruang mesyuarat dengan pemandangan tasik dan kawasan bandar. Kelengkapan moden lain seperti TV HDTV, sistem bunyi dan kawalan suhu berasingan, tempat duduk ergonomic sama ada dalam bentuk teater (130 orang) mahupun bankuet (80 orang) turut disediakan.

Hotel ini menawarkan beberapa pilihan tempat menjamu selera iaitu Restoran Garden Grille dan Pavilion Pantry (kedai serbaneka 24 jam).  Antara perkhidmatan lain yang terdapat di Hilton Garden Inn ialah Wi-Fi percuma di seluruh premis, pusat perniagaan 24 jam, gimnasium 24 jam, kolam renang air masin dan jakuzi bersuhu, serta perkhidmatan dobi layan diri 24 jam.

Hilton Garden Inn Puchong adalah sebahagian daripada program Hilton Honors untuk 14 jenama hotel ternama Hilton. Ahli Hilton Honors yang merupakan tetamu Hotel Hilton boleh menikmati Bonus Points menarik yang ditawarkan.



Booking.com