Hotel Budget Jenama Koperasi

MUNGKIN tidak ramai yang tahu akan kewujudkan hotel dibawah jenama koperasi syarikat tertentu. Atau mungkin anda pernah menginap di hotel tersebut namun tidak sedar ia adalah dibawah pengurusan koperasi syarikat ternama Malaysia.

WOWmalaysia baru-baru ini mengikuti jelajah Promosi Produk  Pelancongan Koperasi Wilayah Persekutuan anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Program ini bertujuan memperkenalkan produk jenama hotel yang diusahakan badan koperasi sesebuah syarikat.

Secara tidak langsung penganjuran sebegini akan bertindak sebagai bahan promosi sekaligus memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai.

Koptown Hotel, Segamat

Hotel milik Koperasi Tenaga Nasional Berhad ini terletak berhampiran hentian bas bandar Segamat, Johor. Hotel ini mula beroperasi pada tahun 2012 dan adalah yang pertama di bawah pengurusan Koperasi TNB. Jenama sama kini sedang dibina di Bandar Pengerang, Johor.

Koptown Hotel menyediakan 80 bilik dengan tiga pilihan utama iatu standard, deluxe dan superior. Dalam setiap kategori bilik terdapat pilihan saiz katil samada   single, twin sharing atau double mengikut kesesuaian pengunjung.

Koptown juga menyediakan tiga buah dewan pelbagai saiz untuk pelbagai kegunaan. Anda boleh menempah untuk mengadakan seminar atau jamuan makan. Bagi memenuhi keperluan seminar, Koptown turut menawarkan aktiviti rekreasi di kawasan berdekatan.

Carlton Inn, Kuantan

Hotel yang mula beroperasi tahun ini menyediakan sebanyak 42 bilik untuk pelanggan. Lokasinya yang terletak di Jalan Bukit Ubi, Kuantan amat strtegik kerana berdekatan dengan bandar Kuantan yang punya banyak tempat menarik untuk dikunjungi.

Carlton Inn menawarkan bilik pada harga serendah RM 58.30 untuk standard queen. Pelanggan yang membawa keluarga boleh menempah bilik besar family king & single pada harga hanya RM 127.20. Hotel ini diusahakan badan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad. Ia juga menyediakan dewan mesyuarat bagi yang berminat.

Setiap bilik dihias dengan dekorasi gaya minimal. Menariknya pada dinding bilik dan sekitar laluan hotel tergantung gambar-gambar pemandangan sekitar bandar Kuantan. Jadi pelanggan boleh mengetahui dan merancang percutian jika menginap di sini.

Hotel Singgah, Kertih

Jika anda merancang untuk bercuti ke pantai timur dan mencari penginapan dengan harga rendah, boleh buat tempahan di Hotel Singgah yang terletak di Bandar Baru Kertih, Terengganu. Hotel milik Koperasi Kakitangan Petronas Berhad ini menyediakan 48 bilik pelbagai saiz untuk pelanggan.

Ruang yang selesa dan kemudahan lengkap untuk pelanggan bermalam di sini. Anda akan diberi layanan terbaik dari kakitangan hotel yang sedia berkhidmat jika berlaku sebarang kesulitan. Anda juga tidak bermasalah untuk mencari kedai serbaneka atau tempat makan kerana semuanya ada sekitar hotel.



Booking.com