Instagram – Cara Baru Melancong

on

Mahukan `pengalaman sebenar’ mendorong orang beralih kepada media sosial untuk mencari destinasi percutian mereka. Dan media sosial yang menjadi pilihan ialah Instagram.

Sebabnya, menerusi Instagram orang banyak berkongsi gambar, terutamanya gambar ketika melancong. Betul apa yang dikata – a picture is worth a thousand words.

Menurut kaji selidik yang dilakukan oleh syarikat insurans penyewaan rumah percutian British, Schofields, generasi milenial kini memilih ke mana mereka akan bercuti berdasarkan bagaimana  gambar-gambar di tempat itu akan kelihatan dalam media sosial mereka.

Sejumlah 40.1 peratus responden dalam kajian tersebut menyatakan mereka akan memilih sesuatu  destinasi dengan menilai sebanyak mana percutian itu boleh di`instagram’kan. Perkara ini mengatasi faktor kos dan perkembangan diri.

Seramai 1,000 orang yang berumur antara 18 hingga 33 tahun menyertai kaji selidik itu.

Sehubungan itu, negara-negara yang mempunyai pemandangan semula jadi yang menarik seperti Iceland dan New Zealand, menjadi destinasi tumpuan pelancong dari serata dunia.

Instagram juga berjaya meningkatkan ketibaan pelancong sebanyak 36 kali ganda dalam masa tiga tahun ke bandar Nagato, yang terletak di hujung selatan pulau utama Jepun, Honshu. Populariti Nagato meledak selepas CNN memaparkan bandar itu sebagai satu daripada 31 tempat paling cantik di Jepun.

Kehadiran pelancong yang ramai ke Nagato, terutama ke tokongnya, menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas selama empat jam. Pihak perbandaran juga mengambil langkah melebarkan jalan, membina lebih banyak tandas dan tempat meletak kenderaan di kawasan itu.

Kawasan kepulauan Jepun sememangnya popular di kalangan pengguna Instagram. Bilangan mereka yang menggunakan Instagram meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh dua tahun lalu kepada lebih 20 juta orang. Ungkapan `Insta-bae’ atau `Instagram-worthy’ telah muncul dalam leksikon Jepun di mana ia menjadi perkataan paling popular pada tahun lalu.

Pada tahun lalu, Instagram bekerjasama dengan Pertubuhan Pelancongan Negara Jepun untuk memperkenalkan hashtag #UnknownJapan, yang menarik perhatian lebih 5 juta pelancong asing untuk berkongsi cerita (post) mereka.

Agensi Pelancongan Jepun menyatakan, jumlah ketibaan pelancong asing telah mencapai rekod tertinggi 28.7 juta orang pada tahun 2017, dan angka ini dijangka bertambah lagi apabila Olimpik Tokyo 2020 diadakan.

 



Booking.com