Jepun Sekat Pelancong Tak Bayar Bil Perubatan

KERAJAAN Jepun merancang untuk menghalang kemasukan semula pelancong luar yang pernah mendapat rawatan perubatan di negara itu, tetapi tidak membayar bil mereka.

Ini berikutan beberapa kes di mana pelancong luar bertindak meninggalkan Jepun walaupun belum menjelaskan kos rawatan yang telah mereka terima di institusi-institusi perubatannya.

Kerajaan Jepun bercadang untuk menguatkuasakan peraturan melarang kemasukan semula ini pada tahun 2020.

Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan, Sumber Manusia dan Kebajikan Jepun pada 2016, 35% institusi perubatan yang pernah merawat pesakit luar negara, termasuk pelancong, tidak menerima bayaran daripada mereka sejak tahun kebelakangan ini.

Malah 64% daripada institusi perubatan dalam kaji selidik tersebut berpandangan mereka berhadapan dengan risiko kos rawatan tidak dibayar jika merawat warga asing.

Kerajaan Jepun giat mengkaji langkah-langkah yang boleh diambil bagi menghadapi masalah ini sejak Mac lalu. Antaranya menentukan kriteria bagi jumlah kos perubatan yang tidak berbayar yang menyebabkan seseorang tidak dibenarkan masuk semula ke negara itu. Contohnya, Britain menetapkan kadar 500 Pound Sterling (74,000 Yen) atau lebih kurang RM 2,700.

Manakala larangan kemasukan semula bagi mereka yang terlibat dalam kes ini, dibuat berdasarkan satu peruntukan dalam undang-undang Kawalan Imigresen dan Pengiktirafan Pelarian yang tidak membenarkan kemasukan warga asing yang dianggap persona non grata (orang yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara selama-lamanya setelah didapati bersalah melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan (berat) semasa dia berada di negara tersebut).

 



Booking.com