Jom Meriahkan Karnival Syawal 2018 @Stadium Shah Alam!

JOM ramai-ramai memeriahkan Karnival Syawal 2018 @Stadium Shah Alam bermula pada 1 hingga 3 Jun dan 8 hingga 10 Jun 2018 nanti. Pelbagai pengisian menarik yang disediakan sepanjang karnival julung kali itu berlangsung sehingga 4.00 pagi.

Bukan sahaja barang-barang keperluan Hari Raya yang disediakan di sini bahkan karnival ini juga turut menyediakan program-program istimewa untuk para pengunjung. Lebih istimewa, anda juga boleh bertemu dan beramah-mesra dengan golongan artis yang turut sama menjayakan karnival ini.

Karnival anjuran Bin Hameed Global Resources dengan kerjasama pengurusan stadium Shah Alam, Selangor ini merupakan karnival yang turut serta mendapat kerjasama daripada anak seni tempatan yang terlibat dalam bidang perniagaan.

Dijangkakan terdapat 100 booth yang akan menjual pelbagai keperluan Hari Raya dengan harga yang istimewa. Di sini juga boleh dijadikan pusat sehenti bagi pengunjung untuk mendapatkan keperluan Hari Raya dan mengikuti program yang sangat bermanfaat di bulan Ramadan. Antaranya ialah takzirah Ramadan, program amal bersama anak yatim, memasak dan mengedar bubur lambuk, zikir munajat, solat terawih berjemaah, pencarian ustaz muda, persembahan artis, stand up comedy dan banyak lagi program yang bakal berlangsung.

Menurut Datuk Nash, karnival Syawal ini juga lebih istimewa dengan penglibatan anak seni tempatan dalam bidang perniagaan. Selain memberi ruang kepada rakan artis untuk menjana pendapatan menerusi perniagaan, karnival ini juga memberi peluang untuk anak seni dan masyarakat menjalin silaturahim.

“Terdapat 15 booth yang disediakan untuk rakan artis yang menjual produk-produk mereka. Selain itu, ada yang sedia berada di sini untuk memeriahkan suasana dengan beramah mesra, menjayakan program-program amal dan mengadakan persembahan sepanjang karnival ini berlangsung. Jadi kita berharap karnival ini mendapat sambutan lebih meriah daripada penduduk setempat,” ujarnya dalam satu sidang media.

Selain itu, pengunjung juga boleh berbuka puasa di sini dengan pelbagai menu menarik dijual di karnival ini. Ruang untuk solat terawih juga turut tersedia bagi umat Islam menunaikan ibadah. #karnivalsyawal2018

Datuk Nash bersama-sama rakan-rakan yang akan menjayakan Karnival Syawal 2018 @Stadium Shah Alam.

 



Booking.com