KIX Ditutup!

Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX) ditutup kerana banjir teruk. – Gambar Aljazeera.com
Taufan Jebi yang melanda bahagian barat Jepun pada 4 September lalu telah menjejaskan sistem pengangkutan dan menyebabkan kerosakan teruk pada jambatan yang menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX).

Sebuah kapal tangki yang berlabuh di Teluk Osaka, berhampiran KIX, telah menghentam satu-satunya jambatan yang menghubungkan lapangan terbang itu dengan pulau utama sehingga menyebabkan sebahagian besar jambatan itu rosak.

Jambatan menghala ke KIX rosak dihempas kapal tangki. -Gambar Japan Bullet.

Menurut The Japan Times, taufan itu yang merupakan taufan terkuat melanda Jepun sejak 25 tahun lalu, telah menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang mati dan mencederakan lebih 200 orang.

Taufan itu mula mendarat di selatan Prefecture Tokushima sekitar tengah hari (waktu tempatan) semalam, dan sekali lagi melanda kawasan darat sekitar 2 pm dekat Kobe. Pada pukul 10 malam, Taufan Jebi bergerak ke arah utara dan timur laut merentasi Laut Jepun ke utara Prefecture Niigata.

Banjir teruk di KIX menyebabkan Kementerian Pengangkutan menutup keseluruhan lapangan terbang tersebut. All Nippon Airways membatalkan lebih 320 penerbangan domestik dan antarabangsa, manakala Japan Airlines membatalkan 270 penerbangan, yang menjejaskan kira-kira 57,000 penumpang.

Malaysia Airlines turut membatalkan penerbangan MH 052 dari Kuala Lumpur ke Osaka pada 4 September susulan penutupan KIX. Syarikat itu, dalam nasihat perjalanannya, menjangkakan penerbangan antara 4 hingga 9 September menghala dan keluar dari Osaka juga terjejas.

Penumpang MAS yang terjejas boleh menukar destinasi perjalanan ke Narita, menangguhkan perjalanan mereka atau memohon bayaran balik penuh. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, penumpang boleh menghubungi 1 300 88 3000 (di Malaysia) dan +603 7843 3000 (luar Malaysia).

Malaysia Airlines juga akan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini mengenai situasi ini menerusi laman web dan platform media sosial, Facebook dan Twitter.

AirAsia pula membatalkan semua penerbangan ke/dari KIX dari/ke Kuala Lumpur, Bangkok dan Honolulu dari 3 September hingga 6 September. Penumpang penerbangan yang terbabit dimaklumkan mengenai status penerbangan mereka menerusi e-mel dan SMS.

Penumpang boleh berhubung dengan syarikat itu menerusi Live Chat (via support.airasia.com), Twitter (@AirAsiaSupport), Facebook (@AirAsiaSupport) yang beroperasi 24 jam, atau pusat-pusat panggilan:

Jepun: +81 50 6864 8181 [8am – 5pm (GMT+9) Isnin hingga Jumaat]

Amerika Syarikat: 1844 727 4588 [9am – 6pm (GMT -10) Isnin hingga Jumaat]

Thailand: +66 2 515 9999 [8am – 9pm (GMT+7) Isnin hingga Ahad]

 



Booking.com