Komuniti ASEAN Bersatu Banteras Denggi

Barang ini mungkin tiada dalam senarai `benda wajib bawa’ kala bercuti, tapi dengan peningkatan kes-kes penyakit bawaan vektor, anda mungkin perlu meletakkan krim penghalau nyamuk dalam senarai itu.

Pada Jun lalu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran bahawa bilangan kes denggi di seluruh dunia telah meningkat secara ketara dalam sedekad lalu, dengan `wabak-wabak besar’ di beberapa kawasan. Kira-kira separuh penduduk dunia berisiko terkena penyakit ini, terutamanya di negara-negara membangun serta di beberapa kawasan selatan Eropah dan selatan Amerika Syarikat.

Di rantau ASEAN, kepentingan untuk membanteras denggi telah wujud sejak lama dulu. Sehubungan itu, Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN pada 2010 telah mengisytiharkan 15 Jun sebagai Hari Denggi ASEAN, dan sambutan Hari Denggi ASEAN telah disambut buat pertama kali di Jakarta, Indonesia pada tahun berikutnya.

Sambutan Hari Denggi ini merupakan inisiatif sokongan serantau untuk meningkatkan kesedaran serta langkah-langkah kawalan dan pencegahan terhadap denggi.

Pada tahun 2018, Malaysia menjadi tuan rumah sambutan Hari Denggi ASEAN yang ke-8. Majlis tersebut yang bertemakan `Komuniti ASEAN Membenteras Denggi’ dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad di Sekolah Rendah Agama Kampung Sungai Kayu Ara, Selangor pada 7 Julai lalu.

Menurut beliau, kes-kes denggi dalam negara dalam separuh pertama tahun ini (Januari hingga Jun) telah menurun sebanyak 34.8 peratus kepada 32,435 kes dengan 53 kematian. Dalam tempoh yang sama tahun lalu, kes denggi seluruh negara berjumlah 49,726 kes dengan 110 kematian.

Selangor mencatatkan kes denggi tertinggi dengan 18,249 kes dan 14 kematian, diikuti oleh Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya) dengan 2,776 kes dan enam kematian, serta Johor dengan 2,747 kes dan tujuh kematian.

Pada tahun 2016, Malaysia berjaya mengurangkan kes denggi sebanyak 16 peratus, dan kematian akibat denggi sebanyak 29 peratus; dan pada tahun berikutnya (2017) mengurangkan 17 peratus kes denggi dan 25 peratus kematian.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama pelbagai kementerian dan agensi menerusi platform Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi,’’ ujar Dr. Dzulkefly yang turut memberi penghargaan kepada sukarelawan program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) yang membantu menggerakkan masyarakat untuk sama-sama terlibat dalam aktiviti pencegahan dan kawalan denggi.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud yang hadir sama dalam majlis itu berkata, kerajaan negeri memilih untuk mengadakan sambutan Hari Denggi ASEAN di Kampung Sungai Kayu Ara kerana sukarelawan COMBI di sini merupakan yang paling aktif di negeri itu.

Penggemblengan semua pihak ini juga digunakan oleh Thailand dalam usaha membanteras wabak denggi di negaranya. Menurut wakil Thailand, Piyaporn Wangroongsarb, pembabitan ketua-ketua masyarakat dan agensi kerajaan penting bagi menyalurkan tindakan kepada masyarakat.

Beliau menyatakan, masalah denggi di negaranya tidak tertumpu kepada satu-satu kawasan namun ia biasanya berlaku di kawasan yang padat penduduk.

Memetik sumber Samui Times, Thailand kini berdepan dengan wabak denggi terbesar dengan lebih 136,000 kes dicatatkan tetapi jumlah kematian hanya 126 orang. Menurut timbalan ketua pengarah di Kementerian Kesihatan Awam, Sophon Mekthon, cuaca panas dan lembab luar musim akibat perubahan iklim menjadikan masalah itu lebih teruk pada tahun ini.

Kawasan sekitar Bangkok dan wilayah utara Chiang Mai mencatatkan kes denggi paling banyak di negara itu.

 

 



Booking.com