Laluan Baru Route of the Parks Rentas Sepertiga Chile

on

Satu laluan baru Route of the Parks (Ruta de los Parques) sejauh 2,800 kilometer (1,740 batu) yang merentasi 17 buah taman negara di Chile, bermula dari Puerto Montt sehingga ke Cape Horn di kepulauan Tierra del Fuego telah dibuka untuk pengunjung pada September lalu.

Di sepanjang laluan yang merentasi tiga wilayah berbeza itu, pengunjung boleh bertemu dengan lebih 60 komuniti yang tinggal dalam kawasan hutan simpan seluas 11.5 juta hektar berlatarkan pemandangan semula jadi yang menakjubkan, dengan 24 jenis ekosistem berbeza, 140 spesies burung yang kebanyakannya adalah spesies terancam dan 46 spesies mamalia.

Laluan ini berjaya direalisasikan apabila Tompkins Conservation mendermakan tanah hutan simpan seluas 1 juta hektar kepada kerajaan Chile untuk menghubungkan taman-taman negara yang sedia ada dan taman-taman negara baru. Sumbangan ini merupakan sumbangan tanah terbesar dalam sejarah dunia daripada satu entiti kepada kerajaan.

Tompkins Conservation ialah organisasi yang diwujudkan oleh Douglas dan Kris Tompkins, masing-masing merupakan CEO dan pengasas jenama pakaian outdoor Patagonia dan North Face, bagi memulihara ekosistem semula jadi di kawasan pergunungan Patagonia di Chile dan Argentina. Kawasan itu mempunyai pelbagai fauna dan flora yang sukar ditemui di tempat lain di dunia. Usaha mereka dijangka dapat menjana AS$270 juta setahun daripada pendapatan pelancongan ke kawasan itu dan mewujudkan 43,000 peluang pekerjaan.

Bagi mereka yang ingin meneroka Route of the Parks, mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut – termasuk jenis kemudahan yang disediakan dan restoran di setiap taman, serta nasihat perjalanan dan peta laluan GPS – menerusi laman sesawangnya.

Berikut ialah 17 buah taman negara di sepanjang perjalanan yang merangkumi satu pertiga keluasan Chile itu. Lima daripadanya (Alacalufes, Cerro Castillo, Melimoyu, Patagonia dan Pumalín) adalah taman negara baru manakala tiga taman negara sedia ada (Corcovado, Hornopirén dan Isla Magdalena) akan diperluaskan.

  1. Parque Nacional Alerce Andino

Hampir separuh daripada taman negara seluas 391 kilometer persegi ini melindungi pokok alerce (Fitzroya cupressoides), yang hampir-hampir pupus pada kurun ke-20. Tinggi pokok ini boleh mencapai sehingga lebih 220 kaki (67 meter) dan merupakan antara pokok paling tua di dunia.

  1. Parque Nacional Hornopirén

Taman negara seluas 482 kilometer persegi ini diwujudkan pada 1988. Glasier, gunung berapi, tiga buah tasik utama dan enam batang sungai ada dalam kawasan hutan hawa sederhana dan bergunung-ganang ini.

  1. Parque Nacional Pumalín

Taman Pumalín merupakan projek pertama Tompkins Conservation. Kawasan seluas 2,888 kilometer persegi ini mempunyai fiord yang dikelilingi hutan tebal yang curam, gunung berapi yang puncaknya diselaputi glasier serta banyak air terjun. Kawasan ini menerima enam meter hujan setahun.

Taman Negara Pumalin.
  1. Parque Nacional Corcovado

Taman ini adalah satu lagi projek yang didermakan oleh Tompkins Conservation. Gunung berapi Corcovado berada di tengah-tengah hutan hujan tebal yang meliputi sebahagian besar kawasan seluas 2,940 kilometer persegi ini. Ia merupakan habitat 19 spesies mamalia, 64 spesies burung dan 133 spesies flora termasuk pokok-pokok sipres Guaitecas yang terbesar di Chile.

  1. Parque Nacional Melimoyu

Taman negara ini mempunyai terusan, fiord dan pulau dalam kawasan hutan iklim sederhana. Hutan ini terletak di atas strato-gunung berapi Melimoyu, dengan lekukan bulat berais selebar 8 kilometer, pada aras 745 meter di atas paras laut.

  1. Parque Nacional Queulat

Tidak banyak laluan yang ada dalam taman negara seluas 2,481 km persegi ini, tapi laluan yang ada memang berbaloi untuk diterokai, antaranya Sendero Bosque Encantado (Enchanted Forest Trail), dan Sendero Ventisquero Colgante (Hanging Glacier Trail).

  1. Parque Nacional Isla Magdalena

Pulau Magdalena terletak di luar pantai Puerto Cisnes. Kawasan seluas 1,577 km persegi yang merangkumi pulau itu dan beberapa pulau kecil lain di sekitarnya, telah diisytiharkan sebagai taman negara pada 1983. Beberapa spesies haiwan seperti memerang, pudu, singa laut, petrel dan koloni penguin Magellan boleh didapati di sini.

  1. Parque Nacional Laguna San Rafael

Taman Negara Laguna San Rafael merangkumi kawasan seluas 17,420 km persegi, termasuk Padang Ais Patagonia Utara. Ia diwujudkan pada 1959 dan diwartakan sebagai UNESCO Biosphere Reserve pada 1979. Gunung San Valentine  (1,238 meter) yang merupakan puncak tertinggi banjaran Patagonia terletak di sini.

Taman Negara Laguna San Rafael.
  1. Parque Nacional Cerro Castillo

Hutan simpan Cerro Castillo seluas 1,655 km persegi ini akan ditukar status menjadi taman negara. Gunung-gunung yang bercerancang di sini menjadi tumpuan mereka yang minat mendaki gunung dan rock-climbing.

  1. Parque Nacional Patagonia

Kawasan taman negara seluas 2,631 km persegi akan diwujudkan dengan menggabungkan Hutan Simpan Jeinimeni di utara dan Hutan Simpan Tamango di selatan, dengan Lembah Chacabuco di antaranya. Hidupan liar semula jadi seperti guanacos, ñandús, puma, kondor Andes dan huemul (rusa selatan Andes) boleh dilihat dengan mudah dari Lembah Chacabuco.

Taman Negara Patagonia.
  1. Parque Nacional Bernardo O´Higgins

Walaupun taman negara ini merupakan yang paling besar (35,260 km persegi), tapi kebanyakan kawasannya sukar dimasuki. Padang Ais Patagonia Selatan menyelaputi sebahagian besar kawasan itu, selain hutan dara, gunung-ganang dan pantai.  Ia merupakan tempat perlindungan terakhir huemul.

  1. Parque Nacional Kawésqar

Padang ragut tepi pantai Patagonia, lumut gambut dan hutan Coihue boleh didapati dalam kawasan seluas 23,139 km persegi ini. Sukar untuk memasuki kawasan ini tapi anda boleh melihat fiord dan selat Alacalufes dari feri yang belayar dari Puerto Montt dan Puerto Natales, atau dari Caleta Tortel dan Puerto Natales.

  1. Parque Nacional Torres del Paine

Taman negara seluas 1,813 km persegi ini merupakan taman yang paling banyak dikunjungi di Amerika Selatan untuk melihat Paine Massif. Pada 2016, jumlah pelancong ke taman ini telah dihadkan dan pada masa ini, anda perlu memohon permit untuk masuk ke taman itu.

  1. Parque Nacional Pali-Aike

DIwujudkan pada 1970, Taman Negara Pali-Aike terletak bersempadan dengan Argentina. Sisa prasejarah dan arkeologi ada dalam taman seluas 1,986 hektar ini.

  1. Parque Nacional Alberto de Agostini

Alberto de Agostini yang seluas 14,600 km persegi ini merangkumi Tierra del Fuego and pulau-pulau sekitarnya. Taman ini dan Taman Negara Cape Horn diwartakan sebagai UNESCO Biosphere Reserve pada 2005. Beberapa mamalia laut termasuk southern elephant seals, leopard seals, toninas, Burmeister’s porpoise, Peale’s dolphin, dan paus humpback mendiami kawasan ini. Ia hanya boleh dikunjungi dengan feri.

  1. Parque Nacional Yendegaia

Ini merupakan taman negara terbaru yang menghubungkan Taman Negara Alberto de Agostini di Chile dan Taman Negara Tierra del Fuego di Argentina. Tanah seluas 15,081 km persegi ini didermakan oleh Tompkins Conservation dan dijadikan taman negara pada 2013.

  1. Parque Nacional Cabo de Hornos

Diwujudkan pada 1945, Taman Negara Cape Horn terletak paling selatan di dunia. Kawasan seluas 632 km persegi ini boleh dikunjungi dengan menaiki bot selama 12 jam dari Puerto Williams.

 



Booking.com