Landasan 3 KLIA DITUTUP Sebulan Mulai 11 Mei

Para penumpang yang merancang untuk terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11 Mei hingga 7 Jun ini dinasihatkan untuk menyemak jadual penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing.

Ini kerana Malaysia Airports akan menutup Landasan 3 di KLIA bermula 12.01 pagi, 11 Mei hingga 3.00 petang 7 Jun. Penutupan selama sebulan itu dibuat untuk kerja-kerja  penyelenggaraan menyeluruh di landasan tersebut.

Dijangkakan kira-kira enam peratus pergerakan penerbangan harian akan terjejas dengan penutupan landasan itu. Bagaimanapun, semua syarikat penerbangan di KLIA komited dalam memastikan keselesaan penumpang dengan memberi maklumat awal sekiranya terdapat perubahan dalam jadual penerbangan.

Pihak-pihak terbabit seperti Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jawatankuasa Operator-operator Penerbangan (AOC) serta pengendali-pengendali darat sedia maklum dengan penutupan ini, dan secara bersama bersetuju mengambil langkah-langkah perlu serta memberi kerjasama.

Menurut Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali, Malaysia Airports mempunyai Pelan Induk Kelestarian Landasan menyeluruh yang antara lain meliputi penilaian dan pengawalan berterusan landasan-landasan di semua lapangan terbangnya.

Menurut pelan itu, sudah tiba masanya Landasan 3 diselenggara secara komprehensif pada tahun ini. Ia membabitkan penurapan, dan pemulihan sesetengah kerja infrastruktur seperti perparitan dan kerja-kerja tanah.

Ini juga merupakan salah satu kewajipan pengendali lapangan terbang untuk memberi keutamaan paling tinggi kepada kelestarian dan keselamatan semua lapangan terbang di bawah pengurusan mereka.

Sumber:  MAHB



Booking.com