Liburan Mengasyikkan di Bumi Kenyalang

Oleh: Noridawati Nahrawi (Majalah Wanita)

Foto:Shahril Azman Zain

MERUPAKAN negeri terbesar di Malaysia dengan kepelbagaian etnik seperti Bidayuh, Orang Ulu, Iban, Melanau, Penan, Kelabit, dan lain-lain, Sarawak yang digelar Bumi Kenyalang punya tarikan tersendiri sebagai destinasi liburan menarik. Selain Taman Negara Niah, Pasar Serikin, Muzium Sarawak, Sarakraf Pavilion dan Muzium Kucing, apa kata terokai juga keindahan beberapa lokasi menarik lain yang ada di ibu negeri Sarawak iaitu Kuching. Tidak lupa, rasai sendiri keunikan seni gastronomi aneka makanan lazatnya yang pasti membuat anda terkenang-kenang hingga menarik anda untuk kembali ke sini.

Indah dan selesa di UCSI Hotel

Panorama Sungai Sarawak di Hotel UCSI

Terletak kira-kira 11 kilometer dari Lapangan Terbang Kuching, Hotel UCSI adalah antara lokasi penginapan yang tidak kurang hebatnya. Menawarkan kamar berhawa dingin dengan kemudahan Wifi percuma di seluruh kawasan penginapan, hotel UCSI turut dilengkapi kemudahan kolam renang luaran serta sauna.

Tampil dalam tatarias dekorasi dalaman mempesona, ruang eksterior hotel ini juga tampak indah dan mengasyikkan. Panorama indah sungai Sarawak yang terletak di belakang hotel secara tidak langsung memberi nilai tambah dari sudut pemandangan alam.

Selain kaunter penerimaan tetamu dibuka 24 jam sehari, Perkhidmatan shuttle percuma ke pusat bandar turut disediakan. Jarak perjalanan dari sini ke bazar Waterfront adalah 7 km, Stadium Sarawak 6 Km, Jeti Bako 16 km manakala perkampungan Budaya Sarawak pula berjarak 34 Km dari sini.

Untuk maklumat mengenai hotel, layari www.ucsihotels.com. FB:UCSIHotelKuching

Ford Margherita merupakan kubu penuh bersejarah.

Monumen Warisan di Fort Margherita

Menjadi salah sebuah daripada lima bangunan ikonik bersejarah yang dibina oleh Keluarga Brooke selain Astana, Bangunan Mahkamah Lama, pejabat pos dan Brooke Dockyard, Fort Margherita punya daya tarikan tersendiri.

Tersergam megah dalam struktur rekaan sebuah istana Kota Inggeris, kubu lama ini dibina oleh Raja Putih Sarawak kedua, Charles Brooke pada tahun 1880. Fort Margherita dinamakan sempena isteri kesayangan baginda iaitu Margaret Alice Lili de Windt yang dikahwininya di Highworth, Wiltshire pada 28 Oktober 1869.

Dibina di atas sebuah bukit mengadap Sungai Sarawak dan terletak di tebing utara berhadapan dengan pusat bandar Kuching, monumen warisan sejarah berusia 138 tahun ini dibangunkan untuk melindungi ibu negeri ini daripada pencerobohan melalui sungai, serangan lanun atau musuh.

Tidak hanya berfungsi sebagai kubu tahanan yang dilengkapi meriam,Fort Margherita turut memiliki bilik tahanan serta bilik menyimpan tengkorak. Dikatakan, tengkorak-tengkorak berkenaan ialah kepala musuh yang telah dipancung dalam beberapa siri pertempuran.

Sejarah pemerintahan Raja Brooke tersimpan di Galeri Brooke.

Imbauan Sejarah Sarawak Di Galeri Brooke

Dibuka pada 24 September 2016, Galeri Brooke berada di Fort Margherita. Mendapat tajaan daripada Brooke Trust yang mana bahan-bahan yang dipamerkan di galeri ini dipinjamkan oleh keluarga Brooke dan Jabatan Muzium Sarawak serta dipasang oleh Brooke Trust sendiri dengan sokongan sukarelawan dari Sarawak, United Kingdom dan Australia.

Memaparkan sejarah pemerintahan Raja Brooke dari tahun 1841, para pengunjung berpeluang mempelajari, memahami dan melihat tempat-tempat serta peristiwa penting dalam pembentukan Sarawak menerusi paparan foto dan barangan peninggalan sejarahyang dipamerkan.

Bayaran yang dikenakan adalah:

Dewasa –RM 10

Kanak-kanak (7 – 12 tahun) – RM 5

Waktu lawatan:

Isnin hingga Ahad termasuk cuti umum

9.00 pagi- 4.45 petang.

Untuk maklumat bolehlah melayari www.brookegallery.org

Membeli barangan cenderahati di Premis kraftangan & Cenderamata di Waterfront

Premis kraftangan & cenderamata di Waterfront

Usai merasai keseronokan menaiki bot atau water cruise, jangan lupa singgah di premis berhampiran untuk membeli barangan cenderamata untuk dibawa pulang sebagai tanda kenang-kenangan.

Antara barangan yang dijual adalah barangan kraf tangan, cenderahati, makanan lokal Sarawak seperti kek Lapis, pakaian dan aneka barangan menarik yang lain. Pendek kata, percutian anda seakan tidak lengkap andai tidak berkunjung dan merasai keseronokan membeli-belah di sini.

Medan Niaga Satok antara lokasi wajib singgah.

Segala-galanya ada di Medan Niaga Satok

Dibangunkan bersebelahan Kompleks Kubah Ria sejak tahun 2013, Medan Niaga Satok merupakan pasar terbesar di Kuching. Menjadi lokasi wajib singgah apabila berkunjung ke Kuching, aneka barangan kering dan basah terjual di sini.

Antara barangan yang dijual di sini adalah makanan laut (ikan, udang, sotong dan pelbagai hasil laut termasuk ikan terubuk masin), buah-buahan, sayur-sayuran, kek lapis serta barangan lain termasuk barangan cenderahati dan pakaian.

Medan Niaga Satok mempunyai lima kompleks utama yang menempatkan pasar petani, pasar basah dan kering, plaza, kafeteria serta mahkamah makanan. Ia terletak di Kubah Ria, kira-kira tiga kilometer dari bandar Kuching

Pelbagai pilihan kek lapis di Mira Cake House
Siti Nurkahirunnissa Alias merupakan anak saudara pengasas Mira Cake House.

Aneka kek lapis Sarawak di Mira Cake House

Terletak berhadapan Medan Niaga Satok, Mira Cake House menawarkan aneka pilihan kek lapis Sarawak yang enak dan ceria berwarna-warni. Diasaskan oleh Hajah Masnah, nama kedai ini diambil sempena nama anaknya, Mira.

Dibuka setiap hari seawal jam lapan pagi sehingga 11 malam, Mira Cake House mempunyai enam cawangan lain (Kota Samarahan, Jalan Haji Taha, Kampung Boyan, Medan Niaga Satok, Kawasan industri MARA Demak Laut) dan satudi Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Antara kek lapis yang dijual di sini adalah yang dijual adalah Kek Lapis Madu Kemenyan, Kek Lapis Blueberry Coklat, Kek Lapis Blueberry Cheese, Kek Lapis Ariana Rose, Kek Lapis Masih Jelas, Kek Lapis Ngap Sayot dan banyak lagi.

Pemandangan sekitar sungai Sarawak

Menyusuri Sungai Sarawak dari Pangkalan Sapi

Merupakan salah satu pangkalan bot penambang di sekitar sungai Sarawak, pangkalan Sapi punya keistimewaan tersendiri. Di sini, pengunjung boleh bersantai melihat pemandangan menarik Astana selain bot penambang yang lalu-lalang membawa penumpang.

Bukan itu sahaja, aksi penduduk tempatan yang datang memancing udang dapat disaksikan di sini. Tidak ketinggalan, anda juga dapat melihat gelagat pejalan kaki menyeberangi jambatan Darul Hana yang menghubungkan Pangkalan Sapi ke Pangkalan Batu sejak 11 November tahun lalu.

Istimewanya mengenai jambatan sepanjang 335 meter yang dibina menyeberangi Sungai Sarawak ini adalah ia memiliki elemen tradisi dan moden, termasuk dua tiang yang menampilkan simbol burung kenyalang.

Menyusuri sungai sepanjang perjalanan menaiki bot penambang dari Pangkalan Sapi, suasana pemandangan berbeza dapat disaksikan. Di bahagian kanan menampilkan pemandangan kota manakala sisi kiri pula adalah merupakan kediaman penduduk setempat.



Booking.com