Lihat Gajah Depan Mata di Tabin

KITA lupakan seketika kesibukan kota dan bebanan kerja. Bayangkan pagi anda dikelilingi kehijauan hutan yang sangat tenang dan di depan mata terlihat sekawan gajah. Bukan itu sahaja, anda juga akan dapat lihat ratusan burung pelbagai spesies berterbangan. Jika mahukan pengalaman sebegini, Tabin Wildlife Reserve di Lahad Datu, Sabah adalah tempat terbaik.

Kawasan seluas 300,000 hektar ini merupakan habibat terbesar pelbagai jenis flora dan fauna di Malaysia, dan ada di antaranya tersenarai dalam spesies terancam. Apa yang boleh dijanjikan anda pasti akan terpesona dengan keindahan alam semula jadi serta pengalaman tinggal bersama hidupan liar.

Jika bercadang ke sini, anda boleh membuat tempahan untuk menginap di resort yang disediakan. Pakej lengkap termasuk tempat tinggal serta makan sepanjang berada di sana. Apabila tiba di sana, ambil masa untuk berehat sebelum memulakan pengembaraan esok hari.

Jangan terkejut jika bangun pagi anda terdengar bunyi tempikan gajah. Itulah satu pengalaman berharga. Jika bernasib baik, dari tempat penginapan, anda mungkin dapat melihat sendiri sekumpulan gajah berjalan.

Seperti dinyatakan, hutan ini merupakan habibat pelbagai spesies. Selain Gajah Borneo (gajah terkecil di dunia), anda boleh melihat badak sumbu, rusa, beruang dan hidupan liar lain. Ikut trek yang telah disediakan oleh pekerja di sana.

Sambil berjalan menelusuri hutan, sesekali dongakkan kepala ke langit. Lihat pada dahan-dahan pokok kerana anda akan nampak burung-burung yang hinggap di situ. Sekali lagi diingatkan, ini kawasan pelbagai spesies haiwan. Jangan rasa pelik jika ternampak burung yang tidak anda kenali. Dikatakan ada pengunjung yang pernah merakamkan 94 spesies burung berbeza dalam satu hari.

Jika anda ternampak katak di sekitar kawasan tersebut, cuba dekati dan perhatikan betul-betul. Mungkin ia adalah spesies katak yang anda tidak pernah lihat. Tak perlulah diingatkan berkali-kali bahawa kawasan ini ada ratusan spesies. Pernah anda berjumpa dengan katak Saffron-Bellied? Cuba sentuh katak ini dan lihat apa jadi pada jari anda.

Kalau sudah puas mengenali hidup liar di Tabin, apa kata ambil masa untuk manjakan diri di spa secara percuma. Janganlah anda bayangkan seperti perkhidmatan di pusat kecantikan. Spa yang dimaksudkan adalah lulur lumpur di Gunung Berapi Lipad. Garam dari lumpur gunung berapi sememangnya baik untuk kecantikan. Sapukan sahaja pada muka dan badan anda.

Kawasan sekitar Lipad ini juga menjadi persinggahan hidupan liar lain. Ini dibuktikan dengan kesan tapak kaki haiwan yang terdapat di sana. Garam mineral lumpur tersebut memberi manfaat berbeza bagi setiap haiwan di sana.

Kalau tak puas meneroka hutan pada sebelah siang, anda boleh ikut pasukan renjer untuk safari malam. Kata orang hidupan liar di hutan lebih aktif pada waktu malam. Mungkin anda akan lihat atau dengar pelbagai bunyi haiwan.

INFO: TOURISM

FOTO: tabinwildlife.com.my

 

 



Booking.com