Lihat Nasihat Perjalanan Sebelum Melancong

on

Okay, bila merancang untuk melancong, berapa ramai daripada kita yang akan merujuk ke laman Kementerian Luar Negeri untuk melihat nasihat perjalanan (travel advisory) yang diberikan? Rasanya tidak ramai yang akan berbuat demikian.

Kalau yang mengikut agensi pelancongan, mereka bernasib baik kerana agen berkenaan pasti akan memaklumkan kepada mereka apa jua perkembangan yang mungkin memberi kesan pada perjalanan mereka.

Namun sekarang, banyak yang melancong sendiri tanpa menggunakan khidmat agensi. Jika anda salah seorang daripadanya, anda perlulah lawat laman KLN untuk melihat kalau-kalau ada sebarang nasihat perjalanan yang diberi, terutama jika ia membabitkan destinasi yang bakal anda kunjungi.

Menurut satu kajian yang dilakukan di Britain, sejumlah 67 peratus warganya yang melancong ke luar negara memeriksa nasihat mengenai destinasi mereka. Antara perkara yang paling banyak diselidiki ialah mengenai mata wang tempatan (59 peratus), soal kesihatan termasuk vaksinasi (56 peratus), syarat kemasukan ke negara terbabit (54 peratus) serta keselamatan (52 peratus). Kira-kira 41 peratus menyatakan mereka turut mencari maklumat mengenai undang-undang dan budaya tempatan.

Hanya 17 peratus yang mendapatkan nasihat daripada Foreign and Commonwealth Office mengenai destinasi mereka; sebahagian besarnya (25 peratus) hanya melihat review yang dipaparkan dalam laman web.

Seimbas lalu, berikut adalah beberapa nasihat perjalanan kepada pelancong yang diberikan sepanjang 2018. Mungkin ada antaranya yang sudah anda tahu:

Thailand: Bermula Januari 2018, pihak berkuasa Thailand telah memperkenalkan larangan merokok di beberapa buah pantai peranginan popular seperti di Phuket, Koh Samui dan Krabi. Bagaimanapun, beberapa tempat khusus disediakan untuk mereka yang ingin merokok.  Usah memperlekehkan larangan ini kerana kalau anda didapati merokok di luar kawasan yang dibenarkan, anda boleh dikenakan denda sebanyak 100,000 Baht (kira-kira RM12,890) atau setahun penjara.

Sepanyol : Mallorca dan majlis perbandaran lain di Sepanyol telah mengharamkan minum minuman keras di jalan dan denda serta merta sehingga 3,000 Euro (lebih RM14,000) boleh dikenakan. Denda di Magaluf adalah empat kali ganda lebih tinggi daripada tahun lalu. Kawalan ketat terhadap minum minuman keras di tempat-tempat awam, termasuk pantai, dikuatkuasakan.

Croatia : Memakai pakaian renang atau tidak memakai baju sambil bersiar-siar di kawasan pusat bandar harus dielakkan. Beberapa kawasan popular di kalangan pelancong seperti Dubrovnik dan Hvar mempunyai papan tanda yang menyatakan amalan itu dilarang mengikut undang-undang mereka dan pelakunya boleh dikenakan denda serta-merta.

Netherlands : Penggunaan dadah adalah dilarang secara umumnya, bagaimanapun ada beberapa premis di bandar-bandar besar yang membenarkannya. Membeli atau menghisap dadah di tempat awam merupakan satu kesalahan.

Turki : Sebarang duit lama dan `khazanah’ lain yang ditemui semasa menyelam tidak boleh dibawa pulang sebagai cenderamata. Periksa dahulu peraturannya. Mereka yang memiliki, menjual dan mengeksport barangan antik merupakan satu kesalahan di negara tersebut dan boleh dikenakan hukuman penjara antara 5 hingga 12 tahun, selain dikenakan denda yang agak besar.

 



Booking.com