Lombok: Kemungkinan Berlaku Gempa Susulan

MATARAM: Orang ramai di sekitar Pulau Lombok, Indonesia diminta berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya ancaman gempa susulan, meskipun diramal dalam skala yang lebih kecil.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Badan Meteorologi, Klimatalogi dan Geofisika (BMKG) Indonesia, Prof. Dr. Dwikorita Karnawati, seperti yang dilaporkan portal berita Kompas.com.

Pada Ahad lalu, satu kejadian gempa bumi melanda Lombok dengan kekuatan 6.4 skala Richter hingga mengorbankan 16 nyawa, termasuk seorang rakyat Malaysia. Manakala lebih 200 orang cedera dalam kejadian berkenaan.

“Sehingga semalam, telah terjadi 85 kali gempa susulan dengan magnitud terbesar 5.7 pada skala Richter. Kami meminta masyarakat untuk berwaspada namun tetap tenang dan jangan panik,” kata Dwikorita kepada portal berkenaan.

Prof. Dr. Dwikorita Karnawati memberi amaran gempa susulan.

BMKG terus memantau perkembangan gempa dari Pusat Gempa Nasional Jakarta dan gempa terakhir yang telah dikesan ialah pada pukul 5.34 pagi Isnin, waktu tempatan. Dwikorita menjelaskan, hasil analisis BMKG mendapati gempa bumi di Lombok terjadi akibat aktiviti pergerakan Sesar Naik Flores.



Booking.com