LTSIP Kini Terima Penerbangan Antarabangsa

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kelantan dijangka bakal menerima lebih ramai pelancong luar negara apabila mula menerima penerbangan antarabangsa terus dari Surat Thani International Airport, Thailand. Perkhidmatan dua kali seminggu itu disediakan oleh syarikat penerbangan Malindo Air.

Menurut Pengerusi Jawatan Kuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, Datuk Md Anizam Ab Rahman, penerbangan tersebut membolehkan pelacong yang datang ke Thailand menyambung percutian mereka di Kelantan. Dalam masa sama berpeluang menikmati keunikan budaya, makanan dan keindahan alam sekitar.

“Kita yakin Kelantan sebenarnya bukan lagi sekadar transit untuk pelancong luar kerana mempunyai pelbagai tarikan tersendiri terutama keramahan penduduk.

“Ada yang tinggal seminggu malah ada yang tinggal tiga bulan, contohnya semasa Pesta Wau Antarabangsa di Geting, Tumpat baru-baru ini pelancong datang dari 18 buah negara dan telah meluangkan masa yang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyambut ketibaan pelancong menerusi penerbangan sulung Malindo Air dari Surat Thani ke Kota Bharu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) pada 17 September lalu.

Penerbangan dari Surat Thani itu adalah penerbangan antarabangsa tunggal setakat ini yang diterima di LTSIP selepas tamatnya operasi penerbangan dari Singapura beberapa tahun lalu. Malindo Air menyediakan penerbangan pergi balik dari Surat Thani ke Kota Bharu dan Kota Bharu ke Surat Thani dua hari seminggu iaitu pada Isnin dan Selasa.

SUMBER: UTUSAN ONLINE

 

 



Booking.com