Melancong Sambil Tinggal Di Penjara

Bukan…, bukan sebab anda melakukan kesalahan, tetapi sekadar mencari satu pengalaman.

Penjara Viyyur di Kerala, India bercadang membuka pintunya kepada para pelancong yang ingin meluangkan masa sehari di penjara. Mereka akan memakai pakaian banduan dan merasai makanan yang disediakan kepada pesalah yang tinggal di situ.

Pelancong lelaki dan perempuan akan ditempatkan di dua blok berbeza, dan jika mereka membuat bayaran dalam talian, mereka boleh tinggal di penjara itu selama 24 jam.

Dalam tempoh itu, mereka akan disajikan dengan makanan yang dihidangkan kepada banduan, bagaimanapun tidak dibenarkan berinteraksi dengan banduan-banduan lain.

Projek tersebut adalah sebahagian projek Muzium Penjara di Penjara Pusat Viyyur di Thiruvananthapuram. Jabatan Penjara Kerala telah pun menyerahkan cadangan kepada kerajaan negeri itu, yang memperuntukkan Rs60 juta untuk projek-projek tersebut.

Projek Muzium di penjara Viyyur antara lain akan mempamerkan rekod-rekod era British, waran, peralatan yang digunakan untuk mendera pesalah, peralatan dapur dan sebagainya.

Sel-sel bawah tanah dan bilik gelap yang tidak pernah dilihat oleh orang awam akan dibina semula. Selain itu, sebuah kafeteria dan kedai cendera hati yang menjual produk-produk penjara juga disediakan.

Penjara Viyyur bukanlah penjara pertama yang membuka pintunya kepada pelancong. Terdapat beberapa penjara di India yang telah pun menerima pelancong yang sudi membayar untuk ‘dipenjarakan.’

Penjara pusat di Telangana yang berusia 220 tahun sudah sudah pun menawarkan kepada pelancong peluang untuk merasai hidup sebagai seorang banduan dengan bayaran sebanyak Rs500 sehari.

Manakala Penjara Pusat Daerah di Sangareddy baru-baru ini bertukar menjadi sebuah muzium. Penjara era kolonial ini juga menawarkan program ‘Feel the Jail’ yang membolehkan sesiapa sahaja yang mahu mencari pengalaman, ‘dipenjara’ selama 24 jam.

Sumber: http://www.tourismnewslive.com

Foto: pixabay.com



Booking.com