Melawat Kyoto Bertemankan Robot

Bermula 22 September ini, jika anda melancong ke Kyoto, Jepun, anda boleh mendapatkan khidmat RoBoHon, robot humanoid bersaiz kecil yang akan memberi penerangan mengenai tempat-tempat yang anda lawati.

Perkhidmatan robot ciptaan Sharp Corporation yang mempunyai ciri-ciri kecerdasan buatan (artificial intelligence-AI) itu boleh anda dapatkan sekiranya menggunakan teksi untuk melancong sekitar Kyoto.

Sharp Corporation, syarikat teksi Kyoto, MK Co., dan agensi pelancongan JTB Corp., telah menjalin kerjasama untuk menyediakan pakej pelancongan termasuk penggunaan RoBoHon sehingga 31 Mac tahun hadapan. Ini bagi memenuhi permintaan pelancong  untuk menggunakan teksi bagi tujuan lawatan, kian meningkat di Jepun.

RoBoHon yang boleh berbahasa Jepun, China dan Inggeris, akan memberi penerangan mengenai sejarah dan budaya tempat-tempat yang dilawati. Anda juga boleh membawa robot yang berukuran 19.5 sentimeter tinggi dan seberat hanya 390 gram ini ke luar teksi, dan menggunakannya sebagai pemandu pelancong.

Bayaran yang dikenakan untuk menggunakan RoBoHon ialah 7,000 yen seorang selama enam jam. Sekiranya ingin berjimat, kongsi dengan seorang atau dua orang rakan lagi, dan caj yang dikenakan ialah 6,000 yen sahaja.

Tokong Kiyamizudera di Kyoto yang menjadi tumpuan pelancong.

Jika anda mengambil pakej ini, anda perlu mengambil teksi di tempat yang ditetapkan, iaitu di hadapan stesen kereta api (JR) Kyoto. Teksi akan membawa anda ke destinasi-destinasi pelancongan seperti kuil-kuil Kiyomizu serta Nanzen-ji, dan ke Shogunzuka Seiryu-den yang terletak di atas gunung untuk menikmati panorama bandar Kyoto.



Booking.com