Meningkatkan pasaran madu kelulut tempatan

Negara yang memiliki khazanah hutan hujan tropika seperti  Malaysia sememangnya beruntung kerana memiliki spesies lebah kelulut yang boleh menjana  kepelbagaian pendapatan produk makanan untuk ekonomi negara selain pergantungan terhadap komoditi utama seperti minyak kelapa sawit dan getah.

Spesies lebah kelulut merupakan sejenis  lebah tidak bersengat berasal daripada keluarga ‘Apidae’ dan berupaya menghasilkan madu yang masam-masam manis, propolis dan ‘bee bread’(roti lebah). Spesies ini mempunyai struktur sarang yang berbeza daripada lebah madu biasa yang menghasilkan madu berwarna kekuning-kuningan dan keperang-perangan.

Khasiat madu kelulut dikatakan lebih tinggi berbanding madu lebah biasa dan  mampu memberi khasiat dan tenaga kepada pengamalnya selain meningkatkan imun tubuh manusia. Dianggarkan lebih 30 khasiat lebah kelulut berbanding madu lebah biasa antaranya bertindak sebagai anti bakteria, anti kulat dan antioksidan.

Pada masa sekarang negara dapat menghasilkan sebanyak 120,000 kilogram madu kelulut daripada 60,000 sarang yang diternak oleh seramai 1,200 penternak setahun. Justeru itu negara berharap jumlah hasil madu itu meningkat sejajar dengan peningkatan jumlah penternak pada masa depan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani misalnya telah menjenamakan madu kelulut sebagai produk ‘Superfood‘ pertama Malaysia dan mempromosinya di peringkat antarabangsa yang sekali gus membantu meningkatkan pendapatan negara.

Untuk tujuan itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah diberi tanggungjawab untuk membangunkan produk madu kelulut melalui pelbagai peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Antara aktiviti penyelidikannya melibatkan pemilihan madu terpilih yang tinggi khasiat antioksidan, pembangunan teknologi pemprosesan, pembangunan seperti propolis dan ‘bee bread’. Superfood ini akan mengikut piawaian yang ditetapkan.

Meskipun mengambil masa namun para penyelidik MARDI  yakin madu kelulut yang dihasilkan penternak tempatan juga setanding dengan madu-madu keluaran peringkat antarabangsa yang kini berada di pasaran.

Malah, produk superfood madu kelulut itu juga akan melalui ujian keselamatan dan keberkesanan, antaranya, ujian terhadap tahap hemoglobin dan ujian penurunan kadar gula dan kolesterol dalam darah.

Pihak Kementerian Pertanian dan Asas Tani telah menyasarkan dalam tempoh lima tahun lagi negara akan menghasilkan dua kali ganda lebih banyak berbanding 120,000 kilogram madu diproses yang dihasilkan untuk tempoh setahun pada masa ini.



Booking.com