Meniti Jambatan Gantung Charles Kuonen… Cubalah Jika Berani

Jambatan gantung terpanjang di dunia ini hanya untuk mereka yang berani! Terletak di Pergunungan Alps Switzerland, jambatan gantung Charles Kuonen menghubungkan dua bandar kecil, Zermatt dan Grachen.

Ia merentasi lembah paling dalam di Switzerland, dengan jarak 494 meter panjang, dan berukuran 85 meter pada puncak tertingginya. Jika berani, anda boleh mengakses jambatan ini dengan berjalan kaki dari bandar Randa yang akan mengambil masa dua hingga 2.5 jam, dan dari Grachen atau Zermatt (6-7 jam).

Jambatan yang dibuka pada 29 Julai tahun lalu ini hanya selebar 65 sentimeter dan kiri kanannya berjaring. Jadi besar kemungkinan seseorang akan berasa gayat. Bagaimanapun pemandangan yang akan anda nikmati pasti menakjubkan.

Jambatan gantung Charles Kuonen adalah pelengkap Europaweg, aktiviti berjalan kaki selama dua hari di Pergunungan Alps. Perjalanan ini membawa anda menikmati panorama pergunungan yang terkenal di dunia termasuk Matterhorn, Weisshorn dan Bernese Alps, keindahan alam semula jadi, serta beberapa perkampungan yang cantik.

Jika anda ingin mencuba, ia dibuka dari Jun hingga November. Bagaimanapun elakkan pada hari-hari cuaca buruk.



Booking.com