Mesir Perkenal e-Visa

KERAJAAN Mesir baru-baru ini memperkenalkan perkhidmatan e-visa yang membenarkan rakyat dari beberapa buah negara mendapat visa untuk masuk ke negara itu secara dalam talian.

Perkhidmatan itu memberi alternatif kepada permohonan visa sebaik sampai (Visa on arrival atau VOP), atau melalui Kedutaan Mesir.

Warga dari 46 buah negara Eropah, Asia dan Australasia kini boleh memohon visa pelancong dengan mengisi borang mudah dalam talian.

Yuran visa yang dikenakan ialah AS$25 untuk sekali masuk, manakala pelancong yang ingin memasuki negara itu berkali-kali perlu membayar AS$60. Bayaran boleh dibuat menggunakan kad kredit atau debit.

Visa pelancong yang diluluskan melalui sistem e-visa boleh digunakan selama maksimum tiga bulan.

Mesir menyaksikan pertambahan kedatangan pelancong, dan langkah menyediakan kemudahan sistem e-visa dalam era digital ini akan memudahkan lagi mereka yang ingin menikmati keunikan dan keindahan negara tersebut.

Pelancong dari negara-negara yang ditetapkan itu perlu membuat permohonan sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum berangkat, dan memastikan pasport mereka masih sah digunakan sekurang-kurangnya lapan bulan lagi. Selain itu, pelancong perlu membawa bersama salinan bercetak e-visa dan itinerari pelancongan dengan maklumat penginapan.

Bagaimanapun bagi rakyat Malaysia, mereka tidak perlu memohon visa menggunakan sistem e-visa, sebaliknya boleh mendapatkan visa sebaik sampai (VOP).

Rakyat Malaysia adalah antara 40 buah negara, antaranya Kesatuan Eropah, Australia, Kanada, Jepun dan Korea Selatan yang layak mendapat VOP di Mesir.

Dengan itu rakyat negara ini boleh mendapatkan visa sebaik mendarat di lapangan terbang di Mesir sebelum melalui pemeriksaan kastam. Anda perlu membayar AS$25 dan melekatkan visa di muka surat kosong dalam pasport. Bayaran hendaklah dibuat dalam mata wang Amerika Syarikat secara tunai kerana kad kredit dan debit tidak diterima. Pastikan juga pasport anda sah digunakan untuk enam bulan lagi.

Foto: Pixabay.com



Booking.com