Nilai Ekonomi Tandas Unik Pada Pelancongan

on

KEBANYAKAN kita tidak terfikir pun untuk meletakkan nilai ekonomi kepada tandas, namun bagi dua orang wanita yang merupakan penyelidik pengembaraan dan pelancongan, tandas awam ada impaknya pada destinasi pelancongan.

Kajian Carolyn Childs dan Bronwyn White mendapati, rekaan tandas yang baik – bukan sekadar memenuhi fungsi standard tandas, tapi ceria, mudah diakses malah menghiburkan – boleh meningkatkan pendapatan perniagaan di sekitarnya.

Menerusi syarikat mereka, My Travel Research, Anugerah Pelancongan Tandas Antarabangsa 2017 telah diwujudkan. Penganjuran kali pertama anugerah tersebut telah menerima 30 penyertaan dari Australia, New Zealand, Canada dan Amerika Syarikat, dan enam pemenang telah dipilih.

Dalam pertandingan pada tahun 2018, yang mula dibuka pada 14 Februari hingga 30 Jun 2018, sebanyak tujuh kategori dipertandingkan. Berikut ialah keputusan pertandingan tersebut yang telah diumumkan pada awal Julai lalu:

Rekaan Terbaik – Pusat Sains Saskatchewan, Regina, Saskatchewan, Kanada

Tandas yang terletak di aras dua pusat sains ini mengambil ilham dari hutan di utara Saskatchewan. Gambar pemandangan hutan Kanada yang dirakamkan oleh jurugambar tersohor, Todd Mintz menghiasi dinding dan lantai tandas ini, malah bunyi beburung dan suasana hutan turut diperdengarkan.

Penyumbang Ekonomi Terbaik – Tandas Mozek Cummins, Semenanjung Eyre, Australia Selatan, Australia

Komuniti di bandar ini mengubah tandas awam berbatu bata merah di sebuah stesen kereta api lama menjadi sebuah tandas yang menarik menggunakan mozek. Keunikan tandas ini tersebar dari mulut ke mulut dan menjadi tarikan pelancong untuk bergambar bersama patung, mozek dan lukisan yang menampilkan suasana awal kurun ke-20.

Lokasi Terbaik – Hotel La Jolla (A Curio Collection by Hilton), Shores Drive, La Jolla, California, Amerika Syarikat

Dari tingkap tandas yang terletak di aras 11 hotel ini, anda dapat melihat pemandangan menarik perkampungan pinggir bandar di tepi pantai La Jolla dan Laut Pasifik.

Tandas Paling Mudah Diakses – Lapangan Terbang Brisbane, Queensland, Australia

Kemudahan di lapangan terbang ini telah ditingkatkan melebihi keperluan aksesibiliti bagi orang kurang upaya. Kemudahan di ruang menukar pakaian khas menyediakan peralatan khusus seperti meja menukar pakaian orang dewasa, alat untuk mengangkat dan pemegang tandas yang boleh dialihkan bagi mereka yang mempunyai ketidakupayaan serius. Laporan digital canggih  memastikan kebersihan tempat ini. Selain itu, ia juga mempunyai tandas untuk anjing pemandu yang bersama orang kurang upaya.

Pengalaman Paling Pelik – Bowl Plaza, Lucas, Kansas, Amerika Syarikat

Tandas awam di Lucas ini mengambil masa empat tahun untuk disiapkan. Dinding luar dan dalam tandas ini dihiasi mozek terperinci yang dihasilkan oleh penduduk dan artis tempatan. Keseluruhan bangunan itu berbentuk seperti tangka tandas, dengan gerbang masuknya menyerupai lapik tandas yang diangkat serta bangku melengkung seakan tempat duduk tandas. Bahagian pejalan kaki menuju ke tandas seakan-akan tisu tandas yang terbuka dari gulungan konkrit besar.

Sumbangan Menyeluruh kepada Pelancongan Tandas dan Pemenang Keseluruhan – Tandas James Bond di Piz Gloria, Murren, Switzerland

Piz Gloria ialah sebuah restoran berputar dan pusat pelancongan yang terletak di puncak Gunung Schilthorn, pada ketinggian 2,970 meter dari aras laut. Tandas ini menggunakan tema James Bong kerana lokasi tersebut pernah digunakan sebagai Sarang Blofeld dalam filem James Bond, On Her Majesty’s Secret Service.

Diperbaharui pada 2017, tandas tersebut turut menyertakan paparan audio visual: Gadis Bond Diana Rigg muncul di tandas lelaki apabila anda membasuh tangan, serta papan tanda seperti `Shake, don’t stir’ dan `Aim like James. Manakala tandas wanita dipasang muzik dan bunyi tembakan apabila imej James Bond muncul dalam cermin di sebelah kesan tembakan, serta suara James Bond berkata, “Tonight, my place – just the two of us’’.

 

 

 



Booking.com