We Offer Friendship – TRIP ADIK BERADIK

BERBEZA dengan kebanyakan agensi pelancongan lain, syarikat Trip Adik Beradik (TAB) menjanjikan percutian yang pasti akan meninggalkan seribu kenangan indah buat pelanggan. Apa istimewanya TAB? Syarikat yang mula beroperasi sejak 2013 ini membawakan konsep keluarga dan persahabatan sepanjang percutian.

Tegas Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd. Shaifulizam Kornia , “We are not selling the package, we offer friendship’’. Itulah konsep dan moto TAB. Justeru, matlamat di setiap hujung percutian adalah merapatkan hubungan setiap pelanggan.

“Walau pergi bercuti dengan orang asing sekalipun, semua pelanggan akan rasa seperti bercuti dengan adik-beradik atau ahli keluarga. Mereka dapat menjalinkan hubungan baik dengan semua yang mengikuti sesebuah percutian.

“Antara medium yang kami terapkan ialah memberi makanan yang dimasak sendiri dan makan pada waktu yang sama. Jadi mereka boleh berinteraksi sesama sendiri untuk kenal lebih lanjut.

“Di setiap persinggahan, kami akan adakan aktiviti. Sebagai contoh, berjalan dalam kumpulan kecil. Selain itu ketika menaiki kenderaan kami akan adakan permainan seperti teka-teki agar hubungan lebih rapat,’’ ujar Shaifulizam.

Shaifulizam harap TAB beri peluang lebih ramai untuk melancong.

Dalam setiap percutian, pelanggan tidak akan terikat dengan itenari yang telah ditetapkan awal. Mereka terbuka untuk memberi cadangan baharu jika ada tempat yang dirasakan sesuai sebagai destinasi persinggahan.

Bagi Shaifulizam lagi, apa yang dirasakan oleh setiap pelanggan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Sebaliknya pengalaman mereka sendiri menjadi bukti bahawa konsep percutian yang dibawakan oleh TAB benar-benar berbeza. Buktinya hampir separuh daripada 5,000 pelanggan kembali membuat tempahan bercuti selepas trip pertama mereka.

Bercakap soal trend percutian semasa, Shaifulizam memberitahu, harga yang murah menjadi pilihan utama ramai pelanggan. Justeru perancangan untuk menempah awal tiket penerbangan adalah sangat penting. Selain itu media sosial turut mempengaruhi pemilihan lokasi bercuti.

“Setiap pelanggan punya cita rasa sendiri ketika bercuti. Ada yang suka dengan fenomena K-Pop dan mereka memilih ke Korea Selatan. Ada yang suka dengan pemandangan cantik, mereka akan pilih Iceland dan New Zealand.

“Lokasi dan filem turut memainkan peranan. Saya menerima banyak tempahan ke Iceland seminggu selepas video muzik lagu Gerua dari filem Dilwale ditayangkan. Itulah bukti kuatnya pengaruh filem,” cerita Shafulizam lagi.

Lokasi filem Diwale yang menjadi tarikan ramai.

TAB sedia bawa pelanggan mengembara dunia.


Booking.com