Pakej Pelancongan Murah Dalam Talian… Boleh Percaya Ke??

on

Banyak orang yang teringin melancong ke luar negara, tapi harga pakej yang diberikan oleh agensi pelancongan mungkin membataskan hasrat mereka. Sebab itu, apabila ada pakej murah yang ditawarkan dalam talian, banyak orang terus menyambarnya. Tapi tunggu… adakah pakej itu sah atau hanya satu penipuan?

Berikut adalah perkara yang perlu anda berhati-hati dalam memastikan kesahihan tawaran tersebut:

  1. Tawaran luar biasa menariknya

Sekiranya anda menemukan pakej yang amat `luar biasa’ bagusnya, terutama yang ditawarkan secara online atau menerusi media sosial seperti Facebook atau WhatsApp, berhati-hatilah.

Seeloknya anda kunjungi pejabat agensi pelancongan itu dan bercakap dengan ejen mereka. Berhati-hatilah jika anda dapati ejen itu terlalu beriya-iya mahu melakukan jualan, atau berterusan mendesak pelanggan dan menawarkan pelbagai `goodies’ untuk memastikan pelanggan menempah pakej dengan mereka.

  1. Baca komen mengenainya

Cari sekiranya anda boleh dapatkan komen-komen daripada mereka yang pernah menempah pakej dengan syarikat itu. Kalau syarikat itu sah, pasti ia ada memaparkan komen daripada mereka yang pernah mengikuti pakejnya.

Selain itu, anda boleh semak statusnya dengan melayari laman rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (www.motac.gov.my/en/check/tobtab) yang mempunyai senarai lengkap agensi pelancongan yang berdaftar. Industri pelancongan dikawal selua di bawah peraturan Tour Operating Business and Travel Agency Business  (TOBTAB), yang mempunyai tiga kategori lesen – Perniagaan Agensi Pelancongan, Pengendali Pelancongan Outbound dan Pengendali Pelancongan Inbound.

  1. Alamat dan nombor telefon tidak sepadan

Layari laman web syarikat/agensi itu dan lihat senarai pengarah dan kakitangan mereka. Pastikan alamat dan nombor telefon talian tetap yang diberi selari, yakni dalam kawasan yang sama.  Telefon nombor yang diberi untuk memastikan kewujudannya.  Banyak laman penipuan hanya mempunyai alamat, tapi jika anda periksa alamat itu, ia mungkin alamat perniagaan lain.

  1. Promosi yang meragukan

Laman penipuan ini biasanya menggunakan bahan yang disalin daripada syarikat pelancongan sebenar. Berhati-hati jika iklan atau bahan promosinya kelihatan agak janggal pada anda.

  1. Kaedah bayaran online

Sekiranya syarikat itu hanya menerima bayaran tunai, arahan bayar wang (money order) atau pemindahan bayaran dalam talian, anda perlu berhati-hati. Memang membayar melalui pemindahan akaun online lebih mudah dan menjimatkan, tapi ini mungkin disalahgunakan oleh penjenayah. Pastikan anda berurusan dengan syarikat yang sah sebelum melakukan bayaran tersebut, terutama jika individu itu menyuruh anda melakukan pembayaran tanpa melalui platform pembayaran rasmi pengendali.

Kalau anda ragu-ragu dengan syarikat itu, tempah menggunakan kad kredit untuk memberi lebih perlindungan pada anda.

  1. Desak buat keputusan cepat

Sekiranya anda didesak untuk membuat pembayaran dengan cepat – umpamanya lebih cepat ambil pakej itu, lebih banyak diskaun yang boleh didapat – anda perlu berhati-hati. Tanya sama ada anda boleh menghantar bayaran itu ke alamatnya atau buat pembayaran apabila anda tiba di sana.

  1. Err… apa namanya?

Kalau tidak ada orang yang pernah mendengar nama syarikat itu, itu merupakan petunjuk besar pada anda. Apatah lagi kalau ia tidak ada laman sesawangnya sendiri. Fikir dua kali sebelum menggunakan khidmat mereka.

Langkah yang perlu dibuat

Apabila menyedari anda telah ditipu…

  1. Buat laporan polis
  2. Kemukakan tuntutan pada Tribunal Pengguna.
  3. Adukan perkara itu kepada MOTAC.

 



Booking.com