Panorama Menarik Hotel-Hotel di Dubai

Banyak yang tahu di mana Dubai, tetapi tidak banyak yang benar-benar tahu mengenai Dubai. Acap kali nama Dubai meniti di bibir kerana ia merupakan bandar transit dalam penerbangan dari Asia ke Eropah. Pun begitu, tidak banyak yang mengambil peluang untuk singgah dan meneroka sendiri keunikan bandaraya yang diapit oleh padang pasir dan Teluk Arab itu.

Kalau singgah pun, kebanyakannya akan bertumpu untuk melihat Burj Khalifa, bangunan paling tinggi di dunia dan Burj Al Arab, hotel mewah berbentuk kapal layar di pantai Jumeirah, yang merupakan ikon bandar Dubai.

Selain daripada dua buah hotel ini, Dubai mempunyai beberapa buah hotel yang turut mempunyai panorama yang memukau hanya di luar tingkap tempat penginapan anda.

  • Underwater Suite, Atlantis The Palm

Bayangkan anda bangun tidur dengan disapa oleh ikan-ikan yang berenang di depan anda. Suite Bawah Laut Poseidon dan Neptune ini mempunyai tingkap dari bumbung ke lantai yang membolehkan anda melihat terus ke Akuarium Lagun Ambassador. Anda boleh melihat 14 jenis spesies jerung, ikan pari dan lebih 65,000 hidupan marin dari ketiga-tiga tingkat suite ini yang menempatkan bilik mandi, bilik tidur dan ruang lounge.

  • Burj View Suite, Manzil Downtown Dubai

Tidak semua orang mungkin mampu menginap di Burj Khalifa, tapi anda boleh menikmati pemandangan indah dari hotel itu di suite Manzil Downtown seluas 48 meter persegi ini. Dari beranda suite ini, anda boleh melihat keindahan kesan pencahayaan pada Burj Khalifa pada waktu malam yang melatari persembahan menakjubkan Air Pancut Dubai.

  • Ocean Suite, Jumeirah Mina A’Salam

Kebiruan laut Teluk Arab yang saujana pandangan mata serta Burj Al Arab menjadi tarikan kepada tetamu yang menginap di hotel ini. Anda boleh menyaksikan pemandangan ini dari balkoni bilik anda atau menaiki bot melalui terusan buatan dalam kawasan hotel ini.

  • Bedouin Suite, Al Maha Desert Resort & Spa

Mahu merasai pengalaman tidur di padang pasir sebagaimana orang Badwi, hotel ini adalah pilihannya. Dibina di kawasan oasis dalam Pusat Pemuliharaan Gurun Dubai, anda boleh melihat bukit-bukit pasir di padang pasir dengan banjaran Gunung Hajar di kaki langit. Kalau bernasib baik, anda mungkin dapat melihat binatang liar semula jadi di benua Arab seperti Oryx dan Gazelle.

  • Armani Fountain Suite, Armani Hotel Dubai

Ini merupakan hotel pertama yang diilhamkan oleh pereka fesyen tersohor Giorgio Armani. Rekaan mewah dan bergaya menghiasi setiap bilik di hotel yang terletak dalam bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa. Armani Hotel Dubai terletak di lapan tingkat pertama bangunan itu serta tingkat ke- 38 dan ke-39. Ia menyediakan akses terus ke Dubai Mall, Souk Al Bahar dan Dubai Opera.



Booking.com