PANTAI, Destinasi Percutian Wajib KEVIN ZAHRI & Keluarga

on

Foto: Koleksi Peribadi Kevin Zahri

 

KETIKA ditanya mengenai destinasi percutian yang menjadi pilihannya sekeluarga, Kevin Zahri Abdul Ghaffar atau Kevin mengakui dia begitu sukakan pantai dan akan membawa keluarganya pergi bercuti di pantai. Tidak kiralah sama ada di dalam mahupun luar negara, pantai menjadi destinasi percutian wajib mereka.

“Sejak dulu lagi saya memang gemar bercuti ke pantai sambil melihat keindahan alam ciptaan Tuhan. Suasana di pantai membuatkan saya berasa lebih tenang dan nyaman selain dapat melakukan pelbagai aktiviti di sana.

Kevin pastikan kelengkapan anak-anak ke pantai disediakan
Suasana pantai yang tenang dan mendamaikan jiwa

“Malah, anak-anak saya juga menggemari percutian di pantai. Mereka sudah tahu, jika mahu pergi bercuti, pastinya mereka memilih pantai dan akan menyediakan kelengkapan untuk ke pantai.

“Selalunya kami akan melakukan pelbagai aktiviti pantai seperti bermain pasir, berlari, menyelam dan sebagainya. Rasanya, hampir ke semua pulau di Malaysia telah kami lawati,” kata Kevin.

LATIH ANAK BERSUKAN

Digelar Cikgu Fitness Malaysia, tidak hairanlah mengapa bapa kepada dua orang anak ini begitu komited melatih anak-anaknya dengan pelbagai jenis sukan serta mengamalkan gaya hidup sihat. Meskipun masih kecil, tetapi sepasang permata hatinya, Rafael Zahri, 4 dan Rio Mikaela Zahri, 2 sudah mula menunjukkan minatnya terhadap bidang sukan dan kecergasan.

Kevin mempunyai minat yang mendalam dalam bidang kecergasan sejak dulu

Tidak fokus kepada satu jenis sukan, Kevin sentiasa mencari minat yang tepat untuk anak-anaknya dengan mendedahkan mereka kepada pelbagai jenis acara sukan. Memandangkan Mikaela masih terlalu kecil, dia hanya menumpukan perhatian kepada Rafael dengan membawanya bermain tenis, bola sepak, berenang dan pelbagai jenis sukan yang lain.

“Saya begitu mementingkan soal kesihatan dan kecergasan yang boleh memberikan kehidupan seharian kita lebih bertenaga. Ramai yang masih tidak menyedari betapa pentingnya aspek kecergasan, namun saya akui kini masyarakat semakin peka terhadap penjagaan kesihatan dan kecergasan. Buktinya, banyak program kecergasan diadakan seperti larian terbuka, zumba, senaman dan sebagainya.

“Menjadi jurulatih kecergasan bukanlah cita-cita saya tetapi atas dasar minat yang mendalam terhadap bidang ini. Apabila wujudnya minat, kita akan melakukan perkara tersebut dengan bersungguh-sungguh dan memberikan komitmen seratus peratus.

“Saya juga berhasrat untuk melibatkan anak-anak dalam bidang ini kerana bagi saya ia amat penting dalam aspek kehidupan. Selain sihat, badan jadi cergas dan perkembangan otak juga jadi cerdas. Saya bersyukur kerana anak-anak saya turut menunjukkan minat terhadap bidang ini dan menyukai pelbagai jenis sukan yang saya dedahkan.

Latih anak-anak bersukan sejak mereka kecil

“Malah, setiap hari saya akan berjalan kaki bersama Rafael untuk ke sekolah. Saya tak pernah menghantarnya menggunakan kereta kecuali jika cuaca tak mengizinkan. Sepanjang perjalanan kami akan berborak dan tidak kira apa sahaja yang ditanya oleh Rafael saya akan jawab sebaik mungkin. Cara ini secara tak langsung dapat mengeratkan hubungan kami anak-beranak,” ujar lelaki berdarah kacukan Jerman ini.

KELUARGA JADI KEUTAMAAN

Dalam pada itu, Kevin yang sibuk dengan pelbagai program fitness akan memastikan masa terluangnya akan dihabiskan bersama keluarga tercinta. Biarpun sibuk dengan pelbagai program, suami kepada Rio Elani Rio Kamal Yuhya ini sentiasa cuba meluangkan masa bersama keluarga melakukan aktiviti bersama anak-anak.

Keluarga bahagia Kevin

“Keluarga ialah keutamaan saya. Kalau boleh setiap waktu saya nak ada bersama anak-anak dan isteri. Saya bersyukur kerana jadual harian saya lebih fleksibel dan membolehkan saya bersama keluarga.

“Tiada apa yang lebih istimewa berbanding meluangkan masa bersama anak-anak dan isteri. Bagi saya, apa yang dilakukan hari ini akan menjadi kenangan buat diri saya dan anak-anak kelak. Semestinya saya akan ingat momen-momen indah yang berlaku sejak mereka kecil.

“Sebolehnya saya tak mahu melepaskan walau sedetik waktu dalam tempoh tumbesaran mereka kerana mustahil kenangan sedemikian dapat dinikmati berulang kali dan kembali lagi. Kerja saya berdasarkan permintaan atau tawaran. Jika ada tawaran sebagai jurulatih, saya akan menumpukan perhatian kepada kerja tersebut dan akan kembali bersama keluarga sebaik saja tugas selesai.

Seorang bapa penyayang

“Mengenai didikan terhadap anak-anak pula, saya tidak mempunyai apa-apa konsep untuk mendidik mereka dan hanya mengikut apa saja yang mereka minat. Lagipun, mereka masih kecil untuk saya terlalu bertegas.

“Meskipun pada luarannya saya kelihatan seperti garang, namun sebaliknya tidak. Saya akan tegas bertempat dan hanya akan menegur anak-anak dengan cara yang betul sekiranya mereka melakukan kesalahan,” cerita Kevin yang begitu rapat dengan kedua-dua anaknya.



Booking.com