Pasca Gempa: Air Asia Tawar Tukar Tarikh Penerbangan dari, ke Lombok

Syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia Bhd. menyatakan, setakat hari ini jadual penerbangan syarikat itu menuju ke Lombok, Indonesia masih beroperasi dengan normal dan mengikut perancangan seperti dijadualkan.

Bagaimanapun pihak Air Asia akan terus memantau dari semasa-semasa dan akan memberi informasi mengenai status penerbangan terkini kepada penumpang.

Justeru, dalam kenyataan yang dikeluarkan, Air Asia meminta penumpang untuk mengemas kini maklumat peribadi di laman web airasia.com supaya mudah dihubungi bagi mendapatkan informasi terkini yang terkait dengan status penerbangan.

Bagi penumpang yang terjejas susulan kejadian gempa yang melanda Pulau Lombok semalam, syarikat penerbangan itu turut menawarkan pertukaran tarikh untuk laluan yang sama dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerbangan tanpa sebarang kos tambahan; atau deposit semula ke akaun kredit AirAsia BIG Loyalty mengikut nilai harga tiket yang telah ditempah. Akaun kredit ini sah untuk tempoh 90 hari dari tarikh diterbitkan.

Tawaran tersebut sah untuk tempahan tiket yang dilakukan sebelum tarikh 29 Julai 2018 bagi sesi penerbangan bermula dari 29 Julai hingga 5 Ogos 2018.

Pada 29 Julai, pulau pelancongan Lombok telah dilanda gempa bumi sekuat 6.4 pada skala Richter sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 16 nyawa dan lebih 150 orang tercedera.



Booking.com