Pasport Malaysia Banyak Hilang di Thailand

Thailand atau lebih spesifik kota Bangkok mencatatkan antara kawasan kehilangan pasport Malaysia tertinggi. Menurut laporan, 90% kes kehilangan berlaku di pusat membeli-belah utama sekitar bandar raya tersebut.

Pihak Kedutaan Malaysia di sana menerima 87 laporan kehilangan sejak Januari hingga September tahun ini. Manakala sebanyak 124 pasport dilaporkan hilang pada tahun lalu. Antara faktor kehilangan adalah tercicir dan dicuri ketika di tempat awam.

Menurut sumber kedutaan yang dipetik dari Bernama, kehilangan pasport banyak berlaku di Pratunam dan Chatuchak iaitu dua kawasan membeli-belah terkenal di sana. Laporan tersebut juga menyebut kecuaian pemilik ketika membeli-belah sebagai penyebab kejadian seperti ini.

Rakyat Malaysia dinasihatkan lebih ber­hati-hati dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan pasport hilang atau dicuri. Mereka juga perlu dididik supaya menganggap pasport sebagai nyawa kedua ketika melancong.

Sumber kedutaan juga tidak dapat mengesahkan atau menolak kemungkinan bahawa pasport Malaysia menjadi sasaran sendiket jenayah. Bagaimanapun katanya, pas­port Malaysia ‘amat ber­kuasa’ dan tidak mustahil menjadi buruan dalam aktiviti pemalsuan pasport antarabangsa.

The Henley Passport Index mengiktiraf pasport Malaysia sebagai antara paling berkuasa di dunia kerana pemiliknya dibenarkan memasuki 166 negara tanpa memerlukan visa.

Menurut Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand, negara tersebut merupakan satu daripada destinasi pelancongan utama rakyat Malaysia apabila seba­nyak 3.3 juta orang melawat Thailand pada tahun lalu.

Jumlah itu menjadikan rak­yat Malaysia sebagai kumpulan pelancong asing kedua terbesar melawat Thailand se­lepas China yang menyumbang lebih sembilan juta pelawat tahun lalu.



Booking.com