Pelancong ke Boracay Dihadkan

Pulau Boracay dibuka kembali pada 26 Oktober ini.

Masih ingat cerita Boracay, pulau pelancongan yang terkemuka di Filipina? Pulau yang terletak di utara Pulau Panay itu ditutup pada April lalu kerana pencemaran yang teruk, sehingga disamakan seperti `limbah kumbahan’ oleh Presiden Rodrigo Duterte.

Boracay akan dibuka semula pada 26 Oktober ini. Bagaimanapun jumlah pengunjung ke pulau itu akan dihadkan.

Filipina akan membenarkan hanya 19,000 pelancong berada di pulau itu dalam sehari. Manakala cuma 15,000 orang sahaja dibenarkan bekerja di pulau yang terkenal dengan pantai putih, laut biru, mempunyai pelbagai aktiviti malam dan sukan air itu.

Selain itu, separuh sahaja daripada 12,000 bilik hotel di Boracay dibenarkan untuk dibuka kepada pelancong setiap hari.

Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Alam negara itu juga akan mengharamkan pesta-pesta di pantai dan aktiviti menjamu selera, merokok dan minum di kawasan-kawasan pantai untuk mengawal pencemaran.

Sebelum ini Boracay menyumbang lebih AS$1 bilion hasil pelancongan setiap tahun kepada Filipina. Namun aktiviti itu telah merosakkan alam sekitar dan mencemarkan pusat pelancongan. Antaranya disebabkan pembinaan banyak resort haram yang beroperasi tanpa permit.



Booking.com