Pelancong Mengubah Budaya Pulau Easter

Lokasinya mungkin terpencil di barat daya Lautan Pasifik; terletak 3,700 kilometer di barat Amerika Selatan, dan 1,770 kilometer dari pulau terdekat, tetapi pulau kecil ini berjaya menarik ratusan ribu pelancong setiap tahun.

Keunikan bumi, budaya dan peninggalan sejarah Pulau Easter menarik ramai pelancong untuk mengunjunginya. Bagaimanapun jumlah pelancong yang lebih ramai daripada jumlah penduduk (7,750 mengikut bancian pada 2017) tidak disenangi, sehingga datuk bandar pulau tersebut ingin mengehadkan kedatangan mereka.

Sebelum ini, pelawat dibenarkan tinggal di pulau itu 90 hari, tetapi kini dikurangkan kepada 30 hari sahaja.

Jumlah mereka yang terlalu ramai memberi impresi pulau tersebut telah ‘diambil alih’ oleh orang luar. Mereka juga dikatakan merosakkan gaya hidup dan mengubah budaya tempatan yang mempunyai sejarah 1,000 tahun.

Pulau Easter, merupakan sebahagian daripada negara Chile, dan menjadi tarikan kerana patung-patung misteri yang diukir oleh kaum Rapa Nui yang tinggal di situ antara tahun 1250 dan 1500.

Terdapat hampir 900 patung moai yang terletak di serata Pulau Easter. Tiada siapa yang tahu mengapa patung-patung ini dibuat. Bagaimanapun ahli sejarah mengesyaki ia diukir untuk menghormati nenek moyang, pemimpin dan orang yang dihormati.

Patung-patung moai ini diukir daripada batu gunung berapi, dan berukuran empat meter tinggi serta seberat 14 tan. Ramai pelancong yang mengunjungi Pulau Easter akan ke kuari Rano Raraku, tempat asal batu-batu yang digunakan untuk membuat patung maoi. Di sini terdapat 400 patung peninggalan Rapa Nui yang masih dalam pelbagai peringkat ukiran.

Kawah gunung berapi mati, Rano Kau.

Selain itu, Pulau Easter juga mempunyai kawah gunung berapi mati (Rano Kau) seluas 3,000 kaki yang membentuk tasik air tawar terbesar pulau itu. Malah ia menjadi sumber air untuk penduduknya.

Sungguhpun dikelilingi laut, kebanyakan kawasan pantai pulau ini adalah tebing-tebing bercerancang. Tidak banyak pantai landai ditemui, dan yang paling popular ialah Pantai Anakena yang berpasir putih. Lebih menarik, tidak jauh dari situ ada tujuh patung moai; sesuatu yang tidak boleh ditemui di tempat lain.

Pantai Anakena.

Bagi pencinta alam, mereka boleh meneroka motu atau tiga pulau kecil berdekatan Rano Kau; Motu Iti, Motu Kao Kao dan Motu Nui. Pulau-pulau ini menjadi tempat pelbagai jenis burung bersarang.

Pulau Easter dikatakan mula didiami antara tahun 800 ke 1,200. Pada tahun 1722, orang Eropah menemui pulau terpencil itu, dan ia hanya mempunyai jumlah penduduk yang kecil, manakala buminya hampir gersanng.



Booking.com