Pelancong Muslim – Pasaran Halal Berpotensi Besar

Hotel Gevora merupakan hotel berkonsep halal yang tertinggi di dunia. Terletak di Dubai, hotel yang berketinggian 75 tingkat ini mempunyai 528 buah bilik dan suite, lima buah restoran, sebuah spa dan pelbagai kemudahan lain yang disediakan oleh sebuah hotel bertaraf lima bintang.

Banyak lagi hotel di Timur Tengah menyediakan perkhidmatan halal. Bukan kerana lokasinya di rantau yang majoriti penduduknya beragama Islam, tetapi juga bersesuaian dengan perkembangan dalam pasaran pelancongan Muslim.

Pelancong Muslim juga seperti pelancong lain, mengembara untuk menikmati alam, budaya, mencari pengalaman baru dan sebagainya. Perbezaannya cuma mereka memerlukan beberapa kemudahan untuk mereka menjalankan atau mematuhi ajaran agama.

Hotel halal contohnya, bukan sahaja tidak menyediakan alkohol di premis mereka, tetapi juga mengikut standard halal dalam penyediaan makanan. Hospitaliti halal juga menitik beratkan hal-hal berkaitan keperluan Muslim lain seperti kepekaan kepada waktu solat, arah kiblat, dan kemudahan paip air dalam tandas.

Selain itu, kemudahan spa dan kolam renang khusus untuk kegunaan mengikut jantina, peka dengan waktu makan pada bulan Ramadan, serta kakitangan yang sensitif dengan keperluan pelancong Muslim.

Pada 2016 terdapat 121 juta pelancong / pengembara Muslim antarabangsa. MasterCard dan Indeks Pelancong Muslim Global 2017 oleh Crescent Rating menjangkakan jumlah itu akan bertambah kepada 156 juta menjelang 2020. Manakala pelancong Muslim dijangka berbelanja sehingga AS$220 bilion.

Satu kajian yang dikeluarkan oleh Thomson Reuters dengan kerjasama Dinar Standard menyatakan, pasaran pelancongan halal mewakili 11.6 peratus daripada perbelanjaan pelancongan dunia, dan akan bernilai AS$238 bilion pada tahun hadapan. Ini tidak termasuk haji dan umrah.

Angka ini bukan kecil, dan pastinya akan membuka mata mereka yang di dalam industri. Mereka juga harus menyedari bahawa demografi pelancong Muslim juga kian berubah. Jika dahulu ramai daripada mereka melancong dengan ahli keluarga, tetapi kini pelancong milenial (mereka yang lahir antara tahun 1980-2000) semakin bertambah.

Golongan ini mewakili 60 peratus daripada populasi Muslim global. Mereka mungkin melancong secara solo atau dalam kumpulan-kumpulan kecil.

Pada 2016, 36 peratus pelancong Muslim adalah milenial, manakala 30 peratus lagi adalah Gen Z. Golongan muda ini bakal mencorakkan pasaran pelancongan Muslim pada masa akan datang. Malah, pada tahun yang sama juga sebanyak 72 juta daripada 121 juta pelancong Muslim antarabangsa adalah daripada kumpulan ini.

Buat masa sekarang, Asia dan Eropah merupakan dua rantau destinasi bagi pelancong Muslim. Bagaimanapun 10 destinasi paling popular ialah Malaysia, Indonesia, Jepun, Thailand, Australia, Singapura, Emiriyah Arab Bersatu, United Kingdom, Amerika Syarikat dan India.

Banyak negara mula menyedari potensi besar pasaran Muslim ini. Jepun contohnya sedang meningkatkan usahanya untuk menarik pelancong Muslim dengan kemudahan makanan halal, tempat solat dan lain-lain kemudahan yang mesra Muslim.

Usaha-usaha itu ternyata mendatangkan impak positif, dan mereka menjangkakan pelancong Muslim akan meningkat sehingga satu juta menjelang tahun 2020 dengan kadar pertumbuhan lebih 18 peratus dalam beberapa tahun akan datang.



Booking.com