Pelancongan Cetus Krisis Alam, BORACAY Antara Yang Menjadi Mangsa

Melancong memang seronok. Berkenalan dengan orang daripada latar berbeza, mengamati budaya baru dan menikmati alam di kawasan pergunungan, lembah, pantai, perkampungan, pekan kecil mahupun banda raya.

Tetapi apa yang anda tinggalkan di tempat-tempat itu? Kertas dan plastik, jejak-jejak yang memusnahkan alam sekitar atau sekadar kenangan yang sukar dilupakan?

Melancong biarlah dengan rasa tanggungjawab dan beretika. Menghormati budaya setempat dan alam kurniaan Tuhan yang tidak ternilai. Begitu juga, dalam keghairahan membangunkan sektor ini, kelestarian alam perlu dipelihara kerana kemusnahannya memerlukan masa yang lama untuk dipulihara.

Sudah banyak bukti di mana pelancongan membawa kemusnahan di kawasan yang suatu ketika dahulu terkenal dengan keindahan semula jadinya. Contohnya, Pulau Boracay di Filipina, yang terpaksa ditutup baru-baru ini kerana pencemaran teruk, sehingga dikatakan seperti `limbah kumbahan’ oleh Presiden negara itu.

Itulah`harga’ yang perlu dibayar oleh pulau yang berjaya menarik dua juta pelancong pada tahun lalu. Boracay bukan satu-satunya pulau tumpuan pelancong di Asia Tenggara yang menghadapi masalah seumpama itu. Thailand juga merancang untuk menutup Maya Bay di Pulau Phi Phi untuk menyelamatkan batu karang di kawasan itu, yang rosak kerana terlalu ramai pelancong dan peningkatan suhu.

Keindahan Boracay kini terancam

Sebelum ini pun, pada 2016, Thailand telah menutup 10 kawasan menyelam setelah negara itu mendapati sehingga 80 peratus daripada sesetengah terumbu karang rosak.

Manakala Pulau Bali di Indonesia dikatakan sedang berhadapan dengan`krisis’. Pulau yang berjaya menarik 5.5 juta pelancong tahun lalu itu berhadapan dengan timbunan sampah sarap di pantai-pantainya pada bulan-bulan tertentu dalam setahun. Malah di sana juga, sawah-sawah padi dibangunkan menjadi padang golf dan vila tanpa perancangan rapi.

Beberapa badan telah pun memberi amaran mengenai keadaan alam sekitar di Bali yang semakin buruk. Antara sebab utamanya ialah pembangunan hotel, resort dan tempat tinggal untuk pelancong yang pesat, tetapi kurangt erkawal dan tidak mengambil kira kesan kepada alam sekitarnya.

Malaysia pun tidak terkecuali. Pada 2004, pihak berkuasa mengarahkan semua resort di Pulau Sipadan ditutup. Keputusan tersebut dibuat untuk melindungi ekosistem pulau yang mempunyai air jernih, terumbu karang yang cantik dan santuari utama penyu.

Pulau Sipadan

Apabila dibuka kembali, jumlah pengunjung ke pulau itu dihadkan. Langkah tersebut membawa kesan positif kepada hidupan laut, terutama di kawasan terumbu karang.

Bagaimanapun aktiviti manusia di pulau itu masih memungkinkan berlakunya ancaman kepada alam sekitar. Pada 2006, kawasan batu karang di Barracuda Point seluas 372 meter persegi rosak apabila dilanggar tongkang.

Kemasukan ramai pelancong tidak dinafikan memberi pendapatan yang lumayan kepada negara dan mereka yang terbabit dalam sektor pelancongan. Namun sesetengah negara Asia Tenggara kini sedang bergelut dengan jumlah pelancong yang terlalu ramai, terutama dari negara China.

Lebih banyak infrastruktur perlu dibangunkan untuk menampung kedatangan pelancong sehingga kadangkala kelestarian alam sekitar diabaikan. Ini diburukkan lagi apabila berlaku pembangunan secara haram serta tidak terkawal, yang tidak mengambil kira kesan kepada alam sekitar, aspek keselamatan dan sanitasi. Akhirnya di pantai berlonggok sampah sarap dan kumbahan disalirkan ke laut.



Booking.com