Pesawat Lion Air bawa 189 penumpang terhempas

on

Pesawat Lion Air JT-610 yang baru kira-kira 13 minit berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten pada 29 Oktober 2018, disahkan terhempas di perairan dekat Karawang, Jawa Barat sekitar pukul 06.33 WIB (Waktu Indonesia Barat).

Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu berlepas pada pukul 06.20 WIB dan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Pangkal Pinang,  pukul 07.20 WIB.

Ia membawa 189 penumpang yang terdiri dari 179 penumpang dewasa, seorang penumpang kanak-kanak dan dua bayi, dua juruterbang dan lima kru.

Presiden Indonesia, Joko Widodo telah mengarahkan usaha mencari dan menyelamat mangsa nahas diteruskan sepanjang malam.

Memetik laporan CNN, pihak berkuasa Indonesia menyatakan sejumlah 24 beg mayat dari kawasan nahas telah dibawa ke Hospital Polis Kramat Jati untuk  tujuan post-mortem pada pagi ini (30 Oktober).

Dalam sidang akhbar malam tadi, Pesuruhjaya Polis Musyafak menyatakan setiap beg tersebut mungkin mengandungi mayat lebih daripada seorang penumpang, justeru itu pihaknya sukar menentukan berapa jumlah mayat yang telah ditemui setakat ini.

Anggota pasukan mencari dan menyelamat bersiap memindahkan mayat mangsa nahas Lion Air JT610.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Indonesia, Ari Dono Sukmanto memberitahu, seramai 151 ahli keluarga penumpang pesawat itu telah tampil untuk  menyerahkan sampel DNA dan rekod pergigian bagi tujuan pengecaman.

Usaha mencari dan menyelamat di perairan Karawang itu melibatkan sejumlah 651 orang anggota polis, manakala 15 orang pegawai forensik pula ditugaskan untuk mengenalpasti mayat mangsa.

Beberapa pemimpin negara dunia turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas itu. Antaranya ialah Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.

habis

 

 



Booking.com