Pesona Indah Pulau Besar Dan Pulau Tinggi

Oleh: Mohd Azrin Wahid & Muhammad Zulhilmi Mohammad Zaini

 

Memang cantik, memang lawa. Pertama kali menjejakkan kaki di Pulau Besar dan Pulau Tinggi Mersing Johor Darul Takzim hati sudah tertawan dan jatuh cinta. Kagum! Oh siapa sangka kedua pulau ini mempunyai kecantikan dan keunikannya tersendiri.

Walaupun terpaksa mengharung perjalanan selama hampir lima jam dari Kuala lumpur ke jeti Mersing, serta 30 minit dilambung ombak atas bot laju, namun keletihan itu hilang serta merta tatkala disajikan dengan panorama indah serta keindahan alam semulajadi yang menakjubkan.

Mengikut ceritanya, Pulau Besar dahulunya dikenali dengan nama Pulau Babi Besar. Satu ketika dahulu sebelum ia dihuni penduduk, ia dikatakan banyak didiami haiwan liar itu. Bagaimanapun anehnya sehingga hari ini tiada seekor babi wujud di pulau berkenaan. Lantas perkataan babi itu ditiadakan.

Pulau Besar sememangnya tidak kalah dengan pulau-pulau lain di Semenanjung Malaysia. Ia mempunyai pantai yang landai, putih bersih serta dikelilingi dengan deretan pulau kecil antaranya Pulau Rawa, Sibu dan Tinggi. Air lautnya yang biru menghijau, serta kawasan dasar lautnya yang jernih sehingga menampakkan keunikan batu karang semulajadi menambahkan lagi keindahan pulau ini.

Malah keindahan pulau ini juga telah menarik sebuah produksi filem Hollywood “Ocean Lifeguard” sebagai lokasi utama pengambaran satu ketika dahulu.

Selain Pulau Besar, tetangganya Pulau Tinggi juga tidak kalah dengan panorama indah serta keindahan alam semulajadi. Uniknya pulau ini kerana ia mendapat nama dari sebuah bukit yang tinggi sekitar 600 meter dari paras laut (mdpl), yang mana menjadi pasak utama bagi pulau tersebut.

Keindahan pulau ini memang tidak boleh disangkal sama sekali kerana ia mempunyai pantai yang landai, putih dan bersih, serta air lautnya yang biru menghijau. Pulau ini juga mempunyai tarikan tersendiri iaitu air terjun di Bukit Tinggi yang boleh diterokai dengan berjalan kaki sekitar 45 minit mengharung denai hutan.

Menambahkan lagi tarikan yang sedia ada di pulau ini apabila ia turut menjadi tempat utama bagi penyu mendarat dan bertelur. Dan jika bernasib baik, ada ketikanya disekitar pulau ini akan kelihatan kawanan dugong serta ikan lumba-lumba mencari makanan. Itu kerana pulau ini menghadap ke laut lepas. Justeru tidak mustahil jika hidupan marin ini menjadikan pulau Tinggi sebagai destinasi laluan mereka atau bertelur.

Sememangnya keindahan dan keunikan yang terdapat pada kedua-dua pulau ini cukup mempersonakan. Tidak mustahil kedua-dua pulau ini dianggap syurga bagi pengunjung pantai atau penggemar hidupan laut. Apatah lagi taraf kedua pulau ini sebagai pulau privasi sudah semestinya ia masih suci dan tidak tercemar. Bagi penulis yang kerap bercuti ke pulau-pulau di Malaysia, kedua-dua pulau ini memang wajar dikunjungi.  Apa tunggu lagi, mehla datang sini.

Aktiviti

Di pulau Besar dan Pulau Tinggi pelbagai aktiviti boleh dilakukan antara pengunjung boleh mandi laut kerana pantainya yang bersih, landai dan jernih. Kelihatan jelas ikan-ikan berenang disekitar pantai.

Di sini juga pengunjung boleh pergi mengelilingi pulau (island hoping), melihat keindahan terumbu karang (snorkeling dan scuba diving), memancing dan mencandat sotong. Jika malas atau ingin berjimat, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti pantai seperti berkayak, berjemur di pantai sambil melihat matahari terbit dan terbenam, bermain permainan pantai, berbasikal mengelilingi pulau (Pulau Besar) serta jungle trekking menuju ke air terjun bukit Tinggi.

Kemudahan  

Di Pulau Besar terdapat beberapa buah penginapan yang disediakan antaranya Mirage Resort & Safaris, D’coconut Island Resort, Aseania Beach Resort dan yang paling terbaru Bayu Lestari Island Resort. Bagi yang berminat, dicadangkan Bayu Lestari Island Resort paling terbaik kerana resort ini paling hampir dengan jeti. Justeru pengunjung tidak perlu berjalan jauh. Apatah lagi kemudahan yang disediakan juga sangat bagus dengan harga yang berpatutan. Lebih menarik bilik-bilik yang disediakan menghadap laut dan pasti mengujakan pengunjung.

Di Pulau Tinggi pula, TAd Marine Resort antara penginapan terbaik kerana lokasinya yang sangat hampir dengan pantai. Ia juga menjanjikan pemandangan menarik dari ruang kamar. Bahkan pengunjung pasti berasa selesa dengan segala kemudahan yang disediakan serta barisan staf yang peramah.

 

Untuk Maklumat Lanjut Sila Hubungi

Pn. Rosmawati – 019 7797455
(Pemilik Bayu Lestari Island Resort Pulau besar)

En. Norhanizam – 012 9088457
(Pengurus Operasi TAd Marine Resort, Pulau Tinggi)



Booking.com