Petra, Jordan… Dahulunya Kota Sodom

Berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Jordan pada April lalu, saya berasa begitu bertuah dan teruja dengan program yang disediakan.

Paling saya teruja ialah melawat Petra yang tersenarai antara Tujuh Keajaiban Dunia oleh UNESCO. Tapak arkeologi ini mengaitkan ia dengan kota Sodom, yang pernah disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Kota ini dan masyarakatnya kaum Tsamud, yang diazab dengan kemusnahan dalam kejadian gempa bumi yang dasyat dalam kisah Nabi Luth AS. Ini disebabkan umat Nabi Luth ini menolak ajakannya kepada agama Allah kerana mereka mengamalkan gaya hidup songsang, lelaki bersama lelaki. Hari ini, daerah yang lenyap tersebut dikenali sebagai Laut Mati yang terletak disempadan Palestin dan Jordan.

Perjalanan dengan bas dari bandaraya Amman ke Petra memakan masa lebih tiga jam. Melihat kawasan sekitar sebaik tiba di destinasi –  tanah datar kering, tandus tidak dapat dibayangkan wujudnya tapak arkeologi tersebut. Sebaiknya anda memakai topi lebar dan berkaca mata gelap sebagai perlindungan daripada terik mentari. Anda diberi pilihan menaiki buggy atau menunggang kuda ataupun berjalan kaki untuk pergi ke Petra. Berjalan kaki memakan masa hampir dua jam dalam cuaca panas terik tengahari! Tetapi panorama sepanjang laluan amat mengujakan!

Antara binaan tinggalan yang ditemui di laluan menuju ke Petra
Seorang lelaki tua bermain alat muzik tradisional.

 

Bermula dengan tanah mendatar gurun berbukit-bukau, berubah kepada batuan bergunung-ganang dengan kesan-kesan penghakisan angin dan air pada permukaan batuan gunung. Keadaan laluan sempit kerana ia dikongsi bersama para pejalan kaki (daripada pelbagai bangsa dan negara) yang bertali arus serta mereka yang menaiki kenderaan.

Ada suatu masa, kami dikejutkan dengan bunyi hentakan kaki sekumpulan kuda, ditunggang laju oleh lelaki-lelaki berpakaian agak pelik. Ia begitu mengerunkan!

Pemandu pelancong memberitahu kami bahawa kumpulan lelaki berkuda itu cuba menimbulkan pergaduhan dan menakutkan para pelancong daripada mengunjungi Petra. Namun rancangan mereka digagalkan oleh pasukan polis yang berkawal di Petra. Petra baru sahaja dibuka pada orang ramai setelah ditutup selama beberapa tahun akibat satu kejadian keganasan.

Lihatlah betapa uniknya lanskap alam semulajadi menuju ke Petra

Perjalanan ke Petra diteruskan. Suasana berubah daripada panas terik kepada redup dan nyaman dicelah-celah gunung batu, disebahagian tempat gunung-gunung tersebut hampir bertemu. Setiap sudut muka bumi bertuah ini kelihatan begitu indah dan unik untuk dirakam sebagai kenangan. Diri berasa ibarat berada diset penggambaran filem ‘Indian Jones: The Lost City’.

Dicelah-celah rekahan gunung berbatu-batan ini, hidup sepohon pokok menyuntik sedikit elemen kehijauan pada lanskap

Dan daripada celah-celah batuan bergunung-ganang inilah, sedikit demi sedikit menyingkap keindahan dan keunikan Petra! Subhanallah! Binaan tiang-tiang menjulang tinggi tersergam indah hasil pahatan, potongan dan ukiran pada dinding-dinding batu. Ia merupakan suatu kemahiran senibina milik masyarakat Tsamud yang begitu menakjubkan!

Kota Sodom atau Petra  dibina enam tahun sebelum Masehi dipercayai mempunyai sistem pengairan atau teknologi hidrolik yang mampu menyalurkan air bersih untuk penduduknya.

Pemandangan disekitar Petra yang terletak disebelah kanan. Deretan kedai cenderamata dan kafe.

Tiada siapapun dibenarkan masuk ke dalam tapak bersejarah ini bagi memulihara keaslian dan keutuhannya. Berhampirannya, terdapat deretan kedai-kedai cenderamata dan kafe-kafe minuman untuk pengunjung dalam suasana nyaman di bawah bayangan gunung-gunung batu Petra. Petra menyimpan beribu rahsia.



Booking.com