Polumpung Melangkap: Keindahan yang menunggu untuk diterokai

Dikenali sebagai Polumpung Melangkap Camp Site, ia merupakan salah satu lokasi menarik di Kota Belud yang semakin dikenali ramai kerana keindahannya yang memukau.

Lokasi ekopelancongan ini terletak di Kampung Melangkap Baru, kira-kira 29 kilometer atau 36 minit pemanduan dari pekan Kota Belud, Sabah. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di tempat ini, antaranya ialah berkhemah, berbeku, bermandi-manda di sungai dan sebagainya.

PERKHEMAHAN DI MELANGKAP

Melangkap Camp Site menyediakan kawasan yang luas dan rata dan sangat sesuai untuk aktiviti perkhemahan. Pengunjung boleh menyewa khemah dengan Pusat Pengurusan Melangkap Camp Site. Walaubagaimanapun, jumlah khemah adalah sangat terhad. Pengunjung digalakkan untuk membawa khemah masing-masing.

BERSANTAI DI SUNGAI MELANGKAP KOTA BELUD

Bersantai dan bermandi-manda di sungai Polumpung Melangkap merupakan salah satu tarikan utama di sini. Air sungai yang jernih dan cetek amat sesuai untuk dewasa dan kanak-kanak melakukan aktiviti air.

Pelampung juga disediakan untuk pengunjung. Pelampung berbentuk tiub tayar perlu disewa dengan pihak pengurusan Polumpung Melangkap, tetapi jumlahnya agak terhad.

MENIKMATI SUSANA MATAHARI TERBIT DAN TERBENAM

Jika anda mengunjungi tempat ini, ada baiknya untuk anda meluangkan sedikit masa untuk menikmati suasana matahari terbenam dan terbit. Suasana yang jauh dari kesibukan kota sudah pasti memberikan ketenangan kepada anda. Oh, jangan lupa abadikan juga saat-saat ini dengan mengambil gambar kenangan. Selfie!

CUACA SEJUK PADA WAKTU MALAM

Disebabkan lokasinya berhampiran dengan Gunung Kinabalu, sudah tentu cuacanya adalah sedikit sejuk terutama pada waktu malam. Bagi mereka yang bercadang untuk berkhemah disini, anda perlu membawa baju yang tebal dan juga selimut bagi keselesaan anda sepanjang malam.

 

BAYARAN MASUK

Untuk masuk ke kawasan ini, anda akan dikenakan bayaran. Tapi jangan risau, kerana bayaran yang dikenakan sangat rendah, iaitu;

  • Dewasa (13 tahun ke atas ) RM2 (yuran kemasukan) & RM4 (yuran berkhemah).
  • Kanak-kanak (7 hingga 12 tahun) RM1 (yuran kemasukan) & RM 2 (yuran berkhemah).
  • Kanak-kanak (bawah 6 tahun) percuma.

Amacam? Menarik tak? Cuba bayangkan anda dapat berkhemah di tepi sungai yang jernih dan tidak tercemar, dikelilingi suasana kampung yang sangat aman, pada waktu malam dapat melihat bintang jelas di langit dan pada waktu pagi pula berlatar belakangkan pemandangan Gunung Kinabalu. Fuhhh…



Booking.com