Projek KKK Kota Belud, Sabah (Siri 3)

on

Pada hujung Julai lalu, Kraftangan Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, telah membawa sekumpulan wartawan media cetak dan elektronik ke Kota Belud, Sabah. Lawatan ini bertujuan untuk memberi pra-tinjauan kepada perlaksanaan projek Kraf KampungKu (KKK) yang akan dirasmikan pada September 2018.

Lawatan tiga hari ini merangkumi pertemuan dengan beberapa pengusaha produk-produk kraf tempatan yang sinonim dengan Kota Belud. Perjalanan hampir dua jam dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu merupakan pengalaman yang mengujakan. Ini disebabkan anda dapat menikmati panorama menarik Gunung Kinabalu yang kelihatan begitu menakjubkan! hampir sepanjang perjalanan.

Produk Kraf Logam

Himpunan parang Bajau dalam pelbagai bentuk dan ukiran

Masyarakat Kota Belud boleh berbangga dengan warisan seni budayanya termasuk pembuatan parang Bajau yang terkenal. Rombongan wartawan berpeluang bertemu dengan seorang pengusaha parang Bajau iaitu Said Pawel di Kampung Siasai.

Pakcik Said menunjukkan parang Bajau dengan sarung diperbuat daripada batang pokok nangka

Lelaki warga emas berusia 78 tahun ini mempelajari seni pembuatan parang Bajau daripada datuknya ketika berusia 18 tahun. Kini telah generasi mewarisi kemahiran ini. Parang ini menggunakan bahan tembaga yang harganya lebih mahal berbanding bahan biasa buatan besi.

Proses membuat parang Bajau yang rumit dan mencabar memerlukan penghayatan, kemahiran mengukir dan tenaga daripada pembuatnya.

Batang besi dibakar dalam ‘gua api’ sehingga merah membara

Pakcik Said menjelaskan bahawa batang besi perlu dimasuk dalam ‘gua api’ sehingga ia berubah menjadi bara merah. Ia segera dikeluarkan untuk di ketuk bagi membentuk mahupun memotong besi kepada bentuk parang dan ukuran yang diingini. Dan besi perlu dibakar kembali setiap lima minit apabila bara merah mula pudar sehingga menepati dengan bentuk dan ukuran yang diperlukan.

Kemudian besi ini di ’grind’ sehingga warna gelapnya berubah menjadi putih dan licin. Selepas itu pembuat parang akan membuat ukiran pada parang seperti motif jala, sementara ukiran motif bunga rebung dan bunga pucuk biasa di ukir pada hujung sarung parang.  Bagi menjamin ketahananan parang, ia disepuh dalam air. Selesai barulah pembuat parang membuat sarungnya, biasanya menggunakan batang pokok nangka.

Koleksi parang Bajau hasil kerjatangan Pakcik Said dan pembantunya

Selain membuat parang, pedang ala samurai, Pakcik Said turut membuat keris taming sari. Biasanya dia mengambil amsa empat hari untuk proses menyiapkan produk logam tersebut. Koleksi parang dna keris Pak Said biasa dijual di pasar tamu Kota Belud dan di promosi-promosi kraf anjuran Kraftangan Malaysia.

Seorang lagi pembuat parang Bajau ditemui di Kraf Inkubator Kota Belud menyertai projek KKK inisiatif Kraftangan Malaysia pada tahun ini. Menurut beliau, kelebihan menyertai projek KKK ialah ia menyediakan tampat khas bagi memudahkan proses pembuatan berkonsep terbuka bagi memberi pendedahan mengenai seni dan budaya masyarakat tempatan pada pelancong yang singgah di Kota Belud.

Berbangga dengan ciptaan parang dengan sarung tanduk rusa, disamping koleksi parang laintermasuk parang berkembar
Parang dengan sarung tanduk rusa dan sarung berukir

Proses membuat parang Bajau ini bermula di pusat pameran Kraf Inkubator Kota Belud ini dibuka pada jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Selain parang Bajau berbentuk panjang dan pendek, dia turut mencipta beberapa rekaan parang yang istimewa antaranya termasuk parang berkembar, parang dengan sarung tanduk rusa yang sangat unik yang dianggarkan bernilai RM15,000!

Menariknya mengenai rahsia seorang pembuat parang Bajau ialah dia mestilah memakai selipar dan tidak memakai sarung tangan sepanjang proses pembuatan produk logam tersebut. Bayangkan betapa mencabarnya kerjaya pembuat parang! Tidak hairanlah produk ini mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri.

Kraf Produk Anyaman Rotan

Empin bersama himpunan produk kraf rotan

Empin Galing sanggup berhenti kerja daripada Jabatan Perpaduan Negara pada tahun 2012 kerana minatnya terhadap produk anyaman rotan. Katanya,” Saya percaya produk anyaman rotan boleh menjana sumber pendapatan bukan sahaja untuk diri saya bahkan juga masyarakat Kampung Melangkap Nariou.“

Empin amat berbangga dengan produk anyaman rotan kerana ia menonjolkan seni kraf suku kaum Dusun kepada masyarakat umum. “Anyaman rotan sega adalah kemahiran warisan nenek-moyang kami yang perlu dikekalkan,” tegasnya.

Sumber rotan juga banyak diperolehi dari kawasan hutan yang mengililingi kampungnya yang mengambil perjalanan laluan batu kerikil hampir 2 jam! Dia juga memiliki 2 ½ ekar tanaman rotan bagi menjamin bekalan bahan yang berterusan.

Bagi menjamin ketahanan dan kualiti rotan, ia perlu diambil dalam bulan gelap pada sebelah petang bagi mengelakkannya daripada berkulat. Kemudian rotan dibersihkan dan jemur sehingga kering dan berubah warna keputihan sebelum dianyam menjadi produk kraf.

Sejak menyertai projek KKK anjuran Kraftangan Malaysia pada tahun 2012, perniagaannya semakin maju dengan binbingan Kraftangan Malaysia. Empin sentiasa mencari idea-idea baru lagi segar dalam merangsang penghasilan produk kraf anyaman rotan yang praktikal, menarik lagi berkualiti!

Antara produk kraf yang dihasilkannya ialah bakul rotan dalam pelbagai gaya moden, tikar rotan, bola pelbagai saiz, anting-anting dan beg sandang. Hari ini, terdapat beberapa lagi produk kraf dalam proses pengemasan.

Empin daripada suku kaum Dusun dibantu 10 orang pekerja bagi menyiapkan tempahan bagi pasaran Sabah dan Semenanjung. Beliau rajin mengikuti kursus berkaitan produk kraf sehingga ke Melaka bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahirannya untuk dikongsi bersama pekerja-pekerjanya.

Antara pekerja yang sedang tekun menyiapkan produk kraf

Bagi memotivasikan golongan belia bagi merangsang perkembangan seni kraf rotan, Empin mengadakan kursus berkaitan seni kraf sebagai sumber pendapatan. Masyarakat kampungnya sendiri menganggap kegigihan Empin sebagai usahawan seni kraf rotan sebagai pembakar semangat untuk terus maju.



Booking.com