Projek Kraf KampungKu Kota Belud, Sabah (Siri 1)

on

foto: miss shophia malaysia

Siapa yang tidak tertarik dengan keunikan dan kehalusan seni kraftangan anyaman bakul-bakul rotan dan buluh dari Sabah! Tambahan pula sekiranya produk-produk seni kraf ini adalah hasil kerjatangan dan kemahiran masyarakat setempat seperti Kota Belud yang terkenal dengan keunikan produk anyaman, tenunan pembuatan produk logam.

Baru-baru ini sekumpulan lima belas wartawan cetak dan elektronik dari Semenanjung berpeluang mengunjungi Kota Belud di Sabah untuk meninjau pelaksanaan projek seni kraf tangan bertema Kraf KampungKu (KKK) oleh Kraftangan Malaysia. Lawatan media ini adalah sempena perasmian projek KKK Kota Belud, Sabah pada September ini.

Projek KKK adalah inisiatif Kraftangan Malaysia untuk membangunkan komuniti setempat di bawah program Sati Daerah Satu Industri (SDSI) – produk kraf. Projek Kraf KampungKu Kota Belud terpilih untuk projek kedua KKK di Sabah selepas Kampung Batu Lunguyan di Keningau.

Himpunan produk anyaman serdang

Dan projek KKK ini merupakan keenam dijayakan bagi peringkat negeri. Objektif projek ini adalah untuk memberi fokas pada penjenamaan semula dan seterusnya mempertingkatkan pengeluaran dan pemasaran produk-produk seni kraf tempatan.

Koleksi fabrik tenun Dastar, Sambiatan dan Baraburu

Selain itu, ia juga bertujuan membantu pengusaha produk-produk kraf agar terus berjaya, sambil mengukuhkan perniagaan serta menghasilkan produk kraf yang lebih berkualiti.

Pelaksanaan projek KKK Kota Belud turut melibatkan jalinan kerjasama dengan Kementerian, jabatan/agensi, pihak berkuasa tempatan dan NGO-NGO. Secara tidak langsung, projek KKK bukan sahaja membawa manfaat kepada masyarakat setempat  malah turut memberi faedah kepda industri lain seperti inap desa, pelancongan, perkhidmatan dan juga industri hiliran.

Produk-produk anyaman rotan yang halus buatannya. FOTO: AZLINA OTHMAN.

Misalnya, projek KKK Kota Belud ini melibatkan 379 orang usahawan dari 20 buah kampong. Produk kraf signatur Kota Belud yang utama ialah Anyaman Serdang, Parang Bajau dan Tenunan Dastar.

Pelbagai rekaan parang Bajau

Satu sudut Pusat Inkubator Kraf Kota Belud

Lawatan media dalam projek KKK Kota Belud, Sabah tidak lengkap tanpa  kunjungan ke Pusat Inkubator Kraf Kota Belud. Ia bertindak sebagai pusat pameran dan pengeluaran pelbagai produk kraf tempatan.

Ini termasuk demonstrasi tenun Dastar tradisional dan moden, pembuatan parang Bajau yang sangat sinonim dengan Kota Belud, anyaman produk rotan dan bahan serdang. Secara tidak langsung, Pusat Inkubator Kraf Kota Belud  menjadi destinasi pelancongan Kota Belud dan Sabah, amnya.

 



Booking.com