Rejuvinasi di REVIVO WELLNESS RESORT BALI mulai 30 Mac

AKHIR Mac ini, sebuah resort wellness mewah, REVIVO akan memulakan operasinya di pulau peranginan Bali, Indonesia. Sepertimana maksud REVIVO, `Saya akan hidup kembali’, pusat peranginan terbaru dan yang pertama di bawah jenama ini,bakal menyegarkan jiwa dan raga menerusi minda dengan membawakan pengalaman menyeluruh rawatan santai, spa dan perubatan holistik.

REVIVO menawarkan 16 buah suite gaya Bali, termasuk dua buah vila empat bilik yang boleh ditempah untuk percutian lebih eksklusif, dalam kawasan berbukit seluas tiga hektar di Nusa Dua, selatan pulau Bali. Sebuah restoran, bar, lounge tepi kolam, spa, kawasan kecergasan hybrid dan ruang acara turut disediakan.

Pengasas resort ini, Gordon Oldham mengharapkan kehadiran REVIVO akan menambah penawaran resort wellness mewah di rantau Asia. Selain Resort Kesejahteraan REVIVO di Bali, Pelayaran Wellness REVIVO di Kepulauan Komodo akan dimulakan pada awal 2019 dan REVIVO Chateau de Fiac di Perancis pada pertengahan 2019.

Bermula sebagai peguam di Hong Kong, Gordon turut menceburi pelbagai bidang perniagaan mengikut minatnya termasuk bidang penerbitan, barangan kemas dan MTV Asia.Bersama isterinya, Danielle, Gordon telah membangunkan rangkaian Pavillion Resorts di Bali dan Phuket, serta sedang membangunkan Pavillion Prive, pengembaraan menarik di lokasi-lokasi unik seluruh dunia.

Kesejahteraan menyeluruh

REVIVO Wellness Resort Bali menawarkan program kesejahteraan yang memfokus kepada pemulihan melalui latihan minda dan kepekaan diri, bukannya kepada kaedah merawat penyakit atau kecederaan tertentu.

Program kesejahteraan resort ini mempunyai tiga komponen iaitu kesejahteraan, pemakanan dan spa.Ia mengambil masa antara 3 hingga 14 hari, meliputi latihan keseimbangan emosi dan minda, pengurangan berat badan melalui detoks dan organik, tidur yang berkualiti, anti-penuaan dan memanjangkan umur, mengendurkan stress dan relaks, serta kepada bakal ibu. Pun begitu, tetamu boleh juga meminta program khusus disediakan untuk memenuhi matlamat mereka sendiri.

Pulihkan minda, badan dan jiwa di resort mewah.

Komponen wellness disediakan oleh kawasan kecergasan hybrid seluas 8,000 meter persegi yang meliputi ruang yoga, dewan seni mempertahan diri, studio Pilates, sebuah gim yang mempunyai peralatan TRX, boxing dan kinesis, sebuah kolam sepanjang 25 meter dan taman lanskap seluas 1,500 meter persegi untuk senaman luar.

REVIVO Wellness Resort Bali dikelilingi hutan yang menghijau di Nusa Dua.
Taman lanskap seluas 1,500 meter persegi untuk pelbagai aktiviti.

Manakala cef pemakanan Aliwalu akan menyediakan sajian yang kreatif untuk pengunjung menggunakan bahan-bahan semulajadi yang diperoleh segar daripada petani tempatan dan ladang-ladang yang mengamalkan perladangan organik dan mapan.  Sajian disediakan mengikut keperluan nutrisi tetamu resort tanpa mengandungi sebarang aditif, pengawet atau bahan proses.

Sajian disediakan secara sihat mengikut keperluan tetamu.

Spa rawatan yang disediakan pula meliputi spa rawatan tradisi Bali, terapi aroma, hidro dan kromo serta kemudahan untuk menyegarkan badan dan minda secara menyeluruh. Spa ini mempunyai lima buah bilik rawatan berkembar yang setiap satunya mempunyai kolam luar persendirian.

Yoga antara aktiviti yang boleh dilakukan di resort ini.


Booking.com